Putera William, Catherine
Duke Of Cambridge, Putera William dan
 Duchess Of Cambridge, Catherine tiba di
 Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) disini,
 hari ini.- Foto Bernama
SEPANG - Duke dan Duchess of Cambridge,
Putera William dan isteri Catherine tiba
 di Lapangan Terbang Antarabangsa
 Kuala Lumpur (KLIA) di sini, bagi memulakan
 lawatan rasmi empat hari.
Malaysia merupakan destinasi kedua selepas
 Singapura dalam lawatan selama sembilan
 hari pasangan diraja itu, ke negara Asia Tenggara
 dan Asia Pasifik bagi mewakili Ratu Elizabeth II
bersempena sambutan 60 tahun pemerintahan baginda.
Ketika pasawat yang membawa pasangan diraja itu
mendarat di KLIA pada tengah hari, sekumpulan
 jurugambar media menunggu dengan sabar di tempat
 laluan kereta diraja.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 100 wartawan
 dan jurugambar asing dari United Kingdom,
Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Jepun,
 Jerman, China, Perancis dan Indonesia tiba di
 negara ini bagi membuat liputan lawatan pasangan diraja itu.
Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Selasa,
lawatan itu bukan sahaja menandakan hubungan erat
 Malaysia dan United Kingdom, malah ia dijangka akan
 meningkatkan lagi hubungan mesra antara kedua-dua negara.
Pasangan diraja itu kemudiannya diiringi ke Putrajaya
 bagi mengadakan kunjungan hormat ke atas
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
 dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di kediaman
 rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, sebelum
menghadiri majlis makan tengah hari.
Orang ramai yang berkumpul di lapangan terbang
 turut mengambil kesempatan merakamkan
gambar pasangan diraja Britain itu.

Duke dan Duchess of Cambridge juga dijangka
 menghadap
Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan
 Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, dan
menghadiri majlis santapan diraja
 di Istana Negara, malam ini.
Sepanjang lawatan ke negara ini, pasangan diraja
itu akan melawat Hospis Malaysia,
 pertubuhan amal yang menawarkan penjagaan
paliatif profesional kepada pesakit menghidap
penyakit hayat terhad, Taman KLCC dan
Lembah Danum, hutan hujan tropika utama, di Sabah.
Mereka dijadual berangkat ke
Kepulauan Solomon pada Ahad, untuk
 meneruskan lawatan.- Bernama

~sumber~