Apa yang pasti ialah MH370 yang dalam
penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing putus hubungan dengan Pusat
Kawalan Udara Subang (ATC Subang) pada jam 2.40 pagi. Ini disahkan oleh
Malaysia Airlines.
Apa yang tidak pasti ialah apakah yang berlaku selepas itu.
Laporan pelbagai agensi berita antarabangsa juga adalah merupakan
spekulasi dan bukannya sesuatu yang konklusif. Seorang yang celik media,
akan berhati-hati membaca laporan media.
Media Vietnam, Tuoi
Tre News yang menyiarkan gambar tumpahan minyak di Laut China Selatan
menyebut, "Photos of oil slick in ALLEGED Malaysia Airlines plane
crash."
Mengenai penumpang yang menggunakan pasport curi milik
rakyat Austria dan Itali, International Business Times menyebut, "We
BELIEVE that the name and passport were used by unidentified person to
board the plane," a spokesman for the Austria foreign embassy told ABC
News.
Sementara itu, Reuters pula melaporkan, "Malaysian plane PRESUMED crashed; questions over false ID."
Perkataan "alleged", "believe", dan "presumed" yang digunakan dalam
ayat-ayat di atas menunjukkan laporan itu bukanlah sesuatu yang
konklusif.
Hanya orang yang buta literasi media akan menganggap laporan itu sebagai sesuatu yang muktamad.
Ada orang tuduh kerajaan sembunyikan fakta bahawa kapalterbang MH370
telah terhempas atau kemalangan. Orang ini sebenarnya hidup di zaman
batu. Dalam zaman yang serba terbuka ini, perkara sedemikian tidak boleh
ditutup dengan mudah. Kejadian ini bukan berlaku di dalam gua!
Sekiranya kerajaan membuat kenyataan MH370 terhempas, persoalan
selanjutnya ialah "Di mana?" dan "Mana bukti MH370 terhempas?" Takkanlah
kerajaan nak jawab "Di Laut China Selatan, dekat Vietnam." Itu jawapan
kedai kopi!
Tragedi ini sedang diikuti secara dekat oleh
industri penerbangan termasuklah Boeing, agensi keselamatan penerbangan
antarabangsa, kerajaan negara-negara yang rakyatnya terbabit dalam
insiden ini, media antarabangsa, industri insuran dan pelbagai pihak
yang berkepentingan dan mempunyai kaitan.
Kenyataan rasmi
kerajaan tidak boleh dibuat seperti kenyataan Pak Malau di kedai kopi.
Selagi kerajaan tidak dapat membuat rumusan yang konlusif mengenai apa
yang berlaku, maka ia tidak akan membuat kenyataan sedemikian.
Sesetengahnya pula mempersoalkan "masa" yang diambil bagi menentukan apa
yang sebenarnya berlaku. Sekiranya kita rajin mencari maklumat di
internet, kita akan tahu bahawa ini bukanlah satu proses yang mudah.
Apabila Air France 447 jatuh ke dalam Lautan Atlantik pada 1 Jun 2009,
pihak penyelamat mengambil masa hampir dua tahun untuk menemui majoriti
bangkai kapalterbang dan mayat penumpang di laut dalam.
Ada
pula yang memperlekehkan negara kerana tidak menghantar kapal selam
untuk mencari pesawat tersebut di laut. Ini adalah contoh orang yang tak
faham mengenai fungsi pelbagai jenis kapal selam tetapi masih mahu
mengkritik sesuatu yang dia sendiri tak arif.
Ambil contoh
kapalterbang. Adakah kita akan menghantar kapalterbang Airbus A380 yang
terbaru dan paling canggih ke medan tempur? Walaupun mahal dan canggih,
Airbus A380 bukan dibina untuk tujuan tersebut!
Inilah jadinya
apabila orang berlumba-lumba menunjukkan kebodohan di media sosial. Bak
kata Albert Einstein: "Perbezaan di antara kecerdikan dan kebodohan
ialah kecerdikan ada had, tetapi kebodohan tiada sempadan."
Nah, respon saya kepada sindiran itu adalah cukup mudah. Buat apa hantar
kapal selam, lebih baik hantar kapal korek; sekurang-kurangnya kapal
korek boleh korek pesawat di dasar laut!
__________________
* Tulisan ini tersiar pertama kali di www.nobisha.blogspot.com
* Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.
Berita mula diterbitkan pada: Mac 10, 2014 08:10 (MYT)
~ money2gold : Marah betul tu...jgn marah dia org tak tgk discovery channel
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..