Pages

Thursday, July 19, 2012

Sultan Johor ampun banduan sempena Ramadan 1433H

Sultan Johor ampun banduan sempena Ramadan
NORSHIKIN MOHD SALLEH
18 Julai 2012
Sultan Johor
Sultan Johor
NUSAJAYA  - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar perkenan memberi pengampunan dengan perintah pembebasan ke atas lapan banduan berkuat kuasa Sabtu ini bersempena permulaan Ramadan.

Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Obet Tawil berkata, baginda turut memberi pengampunan kepada seorang individu untuk membersihkan nama daripada rekod sabitan kesalahan dan meringankan hukuman gantung sampai mati terhadap empat yang lain.

Sebanyak 32 kes rayuan disemak oleh Lembaga Pengampunan Negeri Johor, namun hanya 13 kes mendapat pengampunan.

“Sultan Ibrahim telah mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor pada 19 Januari lepas. Atas nasihat daripada anggota Lembaga Pengampunan Negeri Johor, Peguam Negara dan mempertimbangkan semua aspek seperti kesalahan banduan, tempoh hukuman yang dijalani serta kemajuan pemulihan yang dicapai oleh banduan, maka Sultan Ibrahim dengan limpah kurnia dan perkenannya telah mempertimbangkan pembebasan dan meringankan hukuman kesemua banduan yang terlibat,” katanya kepada pemberita, di Kota Iskandar, di sini.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor dihadiri Menteri Besar dan Datuk Abdul Ghani Othman; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. Turut hadir tiga anggota lembaga pengampunan iaitu Datuk Law Boon King, Datuk Rashidi Mohd Noor dan Datuk Dr M Harjit Singh.

Obet berkata, daripada lapan banduan yang akan dibebaskan pada 1 Ramadan itu, seorang daripadanya, Sapuan Hanin, 58, merupakan banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 manakala tujuh yang lain yang berumur 41 hingga 63 tahun, merupakan banduan kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Sapuan telah menjalani hukuman penjara 24 tahun atas kesalahan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala tujuh yang lain termasuk seorang rakyat Indonesia yang telah dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat itu telah menjalani hukuman penjara antara 22 dan 37 tahun serta antara enam dan 10 sebatan atas kesalahan rompakan dan menggunakan senjata api.

Empat banduan yang diringankan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara ialah banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 iaitu yang terlibat dengan kes pengedaran dadah dan bunuh.

“Tiga daripada mereka yang berumur 36 hingga 41 tahun yang telah menjalani hukuman penjara antara lapan dan 14 tahun diringankan hukuman penjara sepanjang hayat (tiada tarikh bebas) manakala seorang lagi yang berumur 57 tahun yang telah menjalani hukuman 16 tahun penjara diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup (20 tahun),” katanya.

Obet turut berharap banduan yang dibebaskan menggunakan peluang kedua untuk memanfaatkan diri, keluarga dan masyarakat dengan membuktikan mereka benar-benar insaf.


Senarai banduan menerima pengampunan:
Kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 diberi pengampunan dan perintah pembebasan kepada tujuh orang banduan.
1)      Ismail Kassim, 53 (warganegara Indonesia) dijatuhi hukuman penjara seumur hayat dan 10 sebatan atas kesalahan rompakan dan menunjukkan senjata api di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
- Banduan telah menjalani hukuman selama 29 tahun.
 
2)      Shamsuddin@Botak@Bachik Baharin, 55, dijatuhi hukuman penjara seumur hayat dan enam sebatan atas kesalahan rompakan dan menunjukkan senjata api di bawah Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
- Banduan telah menjalani hukuman selama 37 tahun
3)      Mansur Tahir, 49, dijatuhi hukuman penjara seumur hayat dan 6 sebatan atas kesalahan rompakan dan menunjukkan senjata api di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
-       Banduan telah menjalani hukuman selama 30 tahun
4)      Shamsuddin Yaakob, 57, dijatuhi hukuman penjara seumur hayat dan enam sebatan atas kesalahan rompakan dan menunjukkan senjata api di bawah Seksyen  109 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
-       Banduan telah menjalani hukuman selama 30 tahun
5)      Salleh Mion, 41, dijatuhi hukuman penjara seumur hayat dan 10 sebatan atas kesalahan rompakan dan melepaskan tembakan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.
-       Banduan telah menjalani hukuman selama 26 tahun
6)      Mohd Ali Nordin, 63, (warganegara Indonesia) dijatuhi hukuman penjara seumur hayat dan enam sebatan atas kesalahan rompakan dan menunjukkan senjata api di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
-       Banduan telah menjalani hukuman selama 22 tahun
7)      Jamil Moidin, 57, dijatuhi hukuman penjara seumur hayat dan enam sebatan atas kesalahan di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4  Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
- Banduan telah menjalani hukuman selama 31 tahun
 
Pengampunan dibersihkan nama daripada rekod sabitan kesalahan yang lepas.
1)      Yong Huie Perng, 45.
Pengampunan Hukuman Gantung Mati yang diberi pengampunan penuh dan perintah pembebasan
1)      Sapuan Hanin, 58, dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Banduan telah menjalani hukuman penjara 24 tahun sejak 1987.
 
Pengampunan Hukuman Gantung Mati yang diringankan hukuman kepada penjara sepanjang hayat (tiada tarikh bebas).
1)      Zulkipli Arshad, 36, dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Banduan telah menjalani hukuman penjara 11 tahun
2)      Norhasnizam Abd Latif, 36, dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Banduan telah menjalani hukuman 14 tahun
3)      Abdul Rahman Akif, 57, dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Banduan telah menjalani hukuman penjara 16 tahun
4)      Ridwan Rusli, 42, dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Banduan telah menjalani hukuman penjara 8 tahun

No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..