Pages

Monday, August 27, 2012

PUASA 6 - Puasa Syawal


Hampir Seminggu OFF post..Admin nak post pasal Puasa Selepas Puasa...Puasa 6 hari di Bulan Syawal..Admin pon mula puasa 6, hari ini..sebb dah tahu hikmah dia..Nak tahu jom baca Sini


Hikmah atau rahsia puasa enam hari pada bulan Syawal adalah untuk mendidik kesabaran insan, sekali gus tidak menjadikan Hari Raya sebagai tempoh untuk membalas dendam iaitu dengan mengambil pelbagai makanan lazat yang terhidang sepuas-puasnya selepas sebulan berpuasa.
Ia juga akan memberi kesempatan kepada tubuh badan kita untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga. Justeru diutamakan puasa enam bermula pada 2 Syawal.
Namun begitu, puasa sunat enam itu boleh dilakukan pada mana-mana hari sepanjang bulan Syawal samada secara berterusan atau pun berselang seli. Namun, afdhalnya ialah pada Hari Raya Kedua dan dilakukan pula secara berterusan sehingga hariraya ketujuh.
Kelebihan orang yang melakukan ibadat ini diterangkan dalam sebuah hadith daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Hadith Riwayat Muslim)
Hadith itu menjelaskan jika kita berpuasa pada Ramadhan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa, iaitu selama satu tahun.
Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardhu.
Barangkali ada kemungkinan amalan puasa kita pada Ramadhan berkurangan atau pun cacat sedikit, maka puasa enam Syawal adalah sebagai penampal terhadap kekurangan atau kecacatan itu. Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadhan, maka puasa enam memberi peluang yang baik kepada mereka untuk menggantikannya di samping mendapat pahala puasa sunat. Ia juga dapat mengelakkan budaya atau sikap suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga Ramadhan hampir menjelang pada tahun akan datang.
Pelbagai ganjaran dan kelebihan yang diperoleh umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakan puasa enam pada Syawal ini. Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW, bersabda yang bermaksud: “Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 bulan sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya) sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa selama setahun penuh.” – (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah & Ibnu Hibban)
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: “Siapa berpuasa Ramadhan, lantas disambung dengan enam hari pada Syawal, maka dia bagaikan berpuasa selama setahun.” – (Hadith riwayat Al-Bazzar).
Pahala puasa Ramadhan yang dilanjutkan menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda, seperti disentuh dalam hadith.
Membiasakan puasa selepas Ramadhan memiliki banyak manfaat, di antaranya:
Puasa enam hari pada bulan Syawal adalah pelengkap dan penyempurnaan pahala daripada puasa setahun penuh;
Puasa Syawal dan Sya’aban bagaikan solat sunat rawatib, dan berfungsi sebagai penyempurnaan daripada sebarang kekurangan. Perkara ini kerana pada hari qiamat, perbuatan fardhu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunat.
Seperti keterangan Rasulullah SAW dalam beberapa riwayat, majoriti puasa fardhu yang dilakukan Muslimin memiliki kekurangan dan ketidaksempurnaan dan keadaan ini memerlukan sesuatu bagi menutup dan menyempurnakannya.
p/s : selamat menunaikan ibadah sunat di bulan Syawal. :)

No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..