Pages

Wednesday, February 27, 2013

Budak 12 tahun pandai mengubat



Muhammad Rafiq membacakanya ayat al-Quran kepada orang yang dirawat. - GAMBAR HIASAN



Latifah mengajar anaknya mengaji al-Quran setiap hari.

JIKA kanak-kanak lain mengisi masa lapang dengan bermain bola dan badminton, lain pula adik Muhammad Rafiq Rahmat, 12, yang mengisi masa lapangnya dengan mengubati penyakit.

Muhammad Rafiq dikatakan berkebolehan dalam mengubati penyakit sejak enam tahun lalu memenuhi masa terluang dengan tuntutan orang ramai yang mahukan perkhidmatannya.

Anak bongsu daripada empat beradik yang tinggal di Taman Desa Kiara, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan, menggunakan kaedah membaca Surah Al-Fatihah, Surah Al-Ikhlas, bermohon kepada ALLAH SWT agar menyembuhkan penyakit individu yang dirawat dan menghembus pada bahagian yang sakit.

Ibunya, Latifah Arifin, 48, berkata, keistimewaan yang dimiliki anaknya itu mula dikesan sejak berusia enam tahun.

“Saya menjadi tukang urut dan membantu merawat penyakit seperti gangguan makhluk halus secara tradisional diikuti bacaan ayat al-Quran sejak 12 tahun lalu.

“Namun, kedatangan seorang pesakit lelaki yang mengalami penyakit kayap diperut, membongkar keistimewaan Rafiq.

“Saya tidak dapat menolong lelaki itu. Namun Rafiq secara tiba-tiba menawarkan diri untuk membantu," ujar Latifah ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.

Dia menambah, anaknya itu melakukan hembusan dengan bacaan ayat suci al-Quran bagi merawat pesakit berkenaan yang kemudiannya beransur pulih.

Rata-rata pesakit yang pernah menerima rawatan daripada anaknya itu berkata hembusan anaknya akan meresap ke dalam kulit dan terasa sejuk.

Murid tahun enam di sekolah kebangsaan Cina, di sini, berkata, dia tidak menyangka dikurniakan kelebihan tersebut meskipun dalam usia muda.

“Niat saya hanya untuk bantu orang dan kelebihan yang ALLAH SWT beri ini akan saya gunakan sebaik mungkin.

“Walaupun saya masih muda, saya akan mempraktikkan ilmu ini kerana niat saya ikhlas untuk membantu merawat penyakit orang ramai,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi doktor.

Dia yang masih belajar mengaji dengan ibunya, berasa bersyukur dikurniakan kelebihan itu.

Ikhtiar berubat

Latifah berkata, kebolehan anaknya itu tidak menjejaskan pelajaran kerana kaedah rawatan hanya mengambil masa antara lima hingga 10 minit.

Kaedah rawatan anaknya itu tidak memerlukan pengeras, cukup sekadar sumbangan ikhlas daripada pesakit.

“Ketika mengandung Rafiq, saya pernah bermimpi bertemu seorang lelaki yang mendakwa anak ini istimewa dan mempunyai kelebihan yang luar biasa.

“Sebaik saja bersalin, lelaki misteri tersebut muncul seketika untuk melihat anak saya sebelum hilang,” katanya.

Dia dan suami, Rahmat Deraman, 42, tidak akan menghalang anaknya mengubati orang kerana ia perkara baik. Bagi mereka, usaha anaknya itu hanyalah ikhtiar untuk merawat penyakit itu.

Sementara itu, seorang pesakit yang enggan dikenali berkata, dia menderita penyakit kayap di perut sejak sekian lama dan berputus asa kerana banyak tempat sudah pergi untuk mengubati penyakitnya itu.

“Selepas mendapatkan bantuan Rafiq, alhamdulillah dengan izin ALLAH, penyakit saya beransur pulih dan kini kembali sembuh," katanya.

Pesakit wanita berusia 62 tahun yang sebelum ini mengalami penyakit gatal-gatal di kepala hanya menggunakan sapuan ubat untuk menangani kegatalan.

"Setelah Rafiq membacakan ayat dan menghembus ke atas kepala saya, syukur rasa gatal itu kian terasa semakin berkurang," katanya.



sumber:

No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..