Pages

Friday, June 21, 2013

Jerebu kembali 'menyelubungi' Malaysia



KUALA LUMPUR - Penjawat awam Hazeman Hassan dari Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini menyuarakan kepada isterinya agar tidak membenarkan anak lelaki mereka, yang berumur empat tahun, bermain di luar rumah. "Kalau boleh, awak pun jangan banyak berada di luar rumah kerana udara di luar sana tidak sihat," jelas Hazeman lagi kepada isterinya.Pada 16 Jun lepas, Malaysia sekali lagi diselubungi jerebu yang dikatakan berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia menyebabkan bacaan pencemaran udara yang tidak sihat di beberapa lokasi di seluruh negara. Menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (DOE), Indeks Pencemaran Udara (API) pada Ahad lepas mencatat paras melebihi 100 di empat lokasi.Melaka mencatat bacaan API yang paling teruk pada tahap 161 diikuti Port Dickson di Negeri Sembilan (120), Kemaman di Terengganu (108) dan Pelabuhan Klang di Selangor (103). Enam lagi lokasi mencatat bacaan API bawah 100. Tempat-tempat ini ialah Putrajaya (94), Kuala Lumpur (87), Petaling Jaya (86), Johor Baharu (80), Ipoh (72) dan George Town (64).

Masalah tahunan Menurut pakar-pakar alam sekitar, jerebu adalah satu fenomena di mana debu, asap dan partikel-partikel kering yang lain termasuk habuk berkumpul hingga menjadikan langit mendung.Jabatan Kajicuaca turut menyatakan masalah jerebu di negara ini menjadi masalah tahunan semasa musim monsun dari bulan Mei hingga September bila angin meniup asap dari 'tompok panas' di Sumatera menyeberangi Selat Melaka.Menurut laporan media, Ketua Pengarah DOE Halimah Hassan berkata jabatan itu mencatat 46 tompok panas di Sumatera melalui tinjauan satelit pada 16 Jun (Ahad) lepas. Bacaan API 101-200 adalah dalam kategori tidak sihat manakala bacaan 51-100 adalah sederhana. Bacaan bawah 50 menandakan udara yang sihat.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menasihati orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar rumah dan minum banyak air.Dalam laman Facebook beliau, Perdana Menteri menjelaskan bahawa kesihatan adalah keutamaan untuk semua dan jerebu yang dilanda sekarang ini dijangka menjadi lebih teruk dengan angin yang membawa asap dari tompok panas di Sumatera.

Pembakaran terbuka

Jerebu, yang kebanyakannya dikesan berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia, meningkat pada musim panas dan ini boleh membawa kesan negatif ke atas sektor pelancongan dan kesihatan terutama yang berkaitan pernafasan.Malaysia menguatkuasa peraturan yang melarang aktiviti pembakaran terbuka dan tidak terkecuali dalam hal ini, Indonesia 'mengharamkan' aktiviti itu. Masalah jerebu mencatat tahap paling tinggi pada tahun 1997-1998 menyebabkan rantau Asia Tenggara mengalami kerugian AS$9.0 bilion (RM28.5 bilion) terhadap sektor pelancongan dan perniagaan. Pihak berkuasa penjagaan kesihatan juga menasihati mereka yang berada dalam kelompok risiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan yang menghadapi masalah pernafasan seperti asma agar mengelakkan aktiviti luar rumah dan memakai penutup muka jika perlu berada di luar. Para doktor juga menyarankan agar mereka yang mengalami masalah pernafasan, demam, rasa hendak muntah, pening-pening, sakit mata dan batuk agar mengambil rawatan perubatan. Sementara itu, sumber Polis Marin juga menasihati nelayan bot kecil agar tidak turun ke laut kerana jarak penglihatan di Selat Melaka dilaporkan bertambah buruk. "Semua bot menangkap ikan dinasihati agar berjaga-jaga dan bot pukat tunda juga dinasihati memasang lampu," menurut sumber itu lagi.- Bernama

No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..