Pages

Monday, August 05, 2013

Memori main mercun Dulu Dulu







Setiap kali tiba musim perayaan terutama Aidilfitri, suasana akan riuh-rendah dengan bunyi mercun dan bunga api. Ada berpendapat, tak lengkap raya tanpa mercun. Bagi mereka yang tinggal di kampung, mungkin sudah jadi perkara biasa dengan bising letupan ini.
Bagi kanak-kanak dan remaja, bulan puasa dianggap sebagai bulan untuk tingkatkan kemahiran bermain mercun. Tak kisah untuk cuba pelbagai jenis mercun atau buat mercun sendiri, akan ada saja idea kreatif mereka untuk bangkitkan suasana raya. Namun kini mercun menjadi bahan terlarang kerana terdapat beberapa kes membabitkan mercun terutama pada musim perayaan.
Makin hampir menjelang Aidilfitri, makin meriah kanak-kanak bermain mercun dan bunga api terutama di desa. Ia sekali gus menggamit memori penulis mengenai pengalaman bermain mercun semasa kecil.

Mengimbas kembali zaman dulu, tidak banyak kes yang dilapor membabitkan mercun mungkin kerana ada pengawasan ibu bapa. Bagi yang sudah biasa bermain mercun, dia akan setia menunggu Ramadan saban tahun untuk bermain bersama rakan dan ‘berperang’ dengan jiran kampung sebelah. Ada juga yang baru berjinak-jinak dengan mercun, jadi caranya dengan mengikut abang, sepupu yang lebih tua dan juga kawan.

Bermain mercun memang jadi kesalahan namun terdapat beberapa jenis mercun yang diberi pelepasan seperti mercun bawang. Sebenarnya, suasana hari raya akan sunyi dan menjadi kurang menarik jika tidak kedengaran bunyi mercun atau terang benderang bunga api di langit. Itu hakikatnya.

Bagi kanak-kanak, pantang saja lepas waktu berbuka, mereka akan berlari keluar rumah terus keluarkan koleksi mercun yang ada untuk lawan dengan jiran sebelah. Tak hirau pasal Tarawih asalkan dapat bakar mercun, itu yang diutamakan mereka.

Suasana kampung macam berlaku pepera­ngan, bunyi mercun sana sini. Itu suasana perlu dihadapi sepanjang Ramadan khasnya di kampung halaman.


Budak dulu budak sekarang

Mercun buluh antara mercun yang popular di kampung. Ia juga menjadi antara bahan eksperimen kerana ia adalah hasil buatan sendiri. Belerang, buluh dan sumbu antara bahan untuk menghasilkannya. Itu antara rutin budak kampung zaman dulu.

Bagi mereka yang membesar di bandar, mercun dan bunga api dibeli untuk dibawa pulang bermain di kampung halaman. Namun oleh kerana mercun mendatangkan banyak kesan buruk, ia diharamkan di banyak negara termasuk Malaysia.

Bahkan, Akta Bahan Letupan 1957 (Pindaan 1991) memasukkan mercun sebagai bahan letupan kecil yang diharamkan. Meriam buluh turut dikategorikan sebagai mercun buatan sendiri dan diharamkan penggunaannya. Bagaimanapun, ia masih dicipta secara sembunyi-sembunyi.

Jauh bezanya budak dulu dengan budak zaman sekarang. Budak zaman sekarang sangat berani hinggakan walaupun umur baru setahun jagung sudah berani buat dan pasang mercun sendiri. Tak macam zaman dulu, kalau nak main perlu ada pemantauan daripada orang dewasa.

Ibu bapa dulu kurang risau kalau anak main mercun sebab mercun dulu jauh berbeza dengan sekarang. Kalau pun sama, namun akan ada orang dewasa yang pantau seperti abang atau bapa saudara.


Tetap degil

Sering kali kita dengar kes membabitkan mercun hingga menyebabkan kecederaan parah hingga ada antaranya membawa kepada kecacatan kekal seperti putus jari, mata buta atau melecur muka atau bahagian badan tertentu. Kebanyakan mangsa letupan mercun dilaporkan terdiri daripada kanak-kanak dan remaja.

Kadang-kadang ada segelintir ibu bapa merasakan tidak mengapa kerana pada tanggapan mereka sesetengah mercun dirasakan tidak berbahaya, namun itulah punca meningkatnya kes saban tahun.

Sama seperti dulu, walaupun ibu penat menjerit melarang namun kita akan tetap berdegil. Kepuasan bermain bunga api dan pelbagai jenis mercun tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi apabila keesokannya bunyi mercun kita dikatakan paling kuat, teruja makin berganda.


Jaga-jaga

Kini, aktiviti main mercun dipantau ketat oleh pihak berkaitan. Tak salah nak bermain bunga api ataupun mercun yang dibenarkan tetapi jauhi yang dilarang. Banyak mercun yang dijual adalah diseludup individu tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Oleh itu, mercun yang dibawa masuk secara haram tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan. Kita yang akan menanggung padah sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Jualan mercun yang tidak diluluskan menjadi semakin galak apabila menjelang hari raya. Pelbagai bentuk mercun seperti mercun roket, mercun robot dan mercun bola dijual secara berleluasa terutama di pasar malam.

Justeru, jangan lupakan soal keselamatan. Kita tak boleh memaksa seseorang untuk tidak bermain mercun kerana jika itu yang diinginkan, dia tetap akan cari jalan dan berusaha untuk dapatkannya walaupun dengan cara haram.

Tapi harus diingat, mungkin kegembiraan ketika saat menjelang hari raya menyebabkan semakin ramai yang lupa bahaya mercun.

Nasihat penulis, jika ingin bermain juga mercun sekadar menyemarakkan kegembiraan, belilah bunga api yang diluluskan pihak berkuasa. Paling baik ialah tinggalkan tabiat bermain mercun.


 ~ kredit&sumber


 


 ~ money2gold : huhuhu main mercun tapi bukan yg buatan sendiri..merbahaya..








No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..