Pages

Thursday, August 29, 2013

Patriotik dianggap gila : “Acik dah tegar dicaci, dimaki dan dianggap gila "



Semua hiasan dilakukan sendiri dan turut dibantu anaknya.
< 1 / 3 >
TIKAM BATU – “Acik dah tegar dicaci, dimaki dan dianggap gila hanya kerana mahu ceriakan persekitaran rumah dan restoran mi udang dengan ratusan bendera Jalur Gemilang sepanjang bulan Kemerdekaan.

Demikian luahan Abdullah Ahmad, 65, atau lebih mesra disapa Acik, seorang pengusaha mi udang di Batu Lintang, Tikam Batu yang sanggup berhabis ribuan ringgit demi meluahkan kecintaannya kepada negara.

“Bukan sahaja kanak-kanak yang gelarkan Acik gila, malah ada antara orang tua turut bersikap begitu.

“Acik tidak faham dengan semangat orang sekarang menyambut merdeka, adakah sekadar melaungkan perkataan itu semata- mata tanpa terdetik di hati dan meresap ke dalam jiwa mereka,” katanya.

Menurutnya, ada juga masyarakat yang menghargai usahanya apabila mereka memuji apa yang telah dilakukan selain memberi sokongan serta dorongan untuk terus beri kesedaran kepada orang ramai tentang erti kemerdekaan.

“Pengalaman paling pahit apabila kereta yang dihias dengan Jalur Gemilang serta gambar potret tertentu yang mencerminkan patriotik dicemuh dan diludah apabila melalui laluan yang dipenuhi orang ramai dalam satu majlis.

“Mereka menunjukkan tanda protes apabila saya melalui laluan tersebut dengan sikap yang tidak bertamadun,” katanya.

Menceritakan rutinnya menyambut bulan kemerdekaan dengan menghias rumah serta persekitaran, Abdullah menjelaskan, ia dilakukan sejak tahun 1999 lagi.

“Acik hias Jalur Gemilang bukan sebab mahu masuk pertandingan semata-mata, tetapi sejak dulu tak masuk pertandingan pun, Acik dah mula menghias,” katanya.

Sanggup sedia hampir RM5,000

Mengakui rela menghabiskan hampir RM5,000 untuk menceriakan rumah serta restorannya dengan Jalur Gemilang, Abdullah berkata, dia menyediakan Tabung Merdeka bagi mengatur kewangan sepanjang tahun untuk tujuan berkenaan.

“Tabung Merdeka lain, tabung untuk berniaga lain pula, Acik dah asingkan siap-siap supaya nanti mudah untuk menyediakan kelengkapan,” katanya.

Selain menggunakan batang buluh, cat dan bingkai gambar, Abdullah juga menggunakan barangan terpakai seperti botol kaca, botol plastik, gelas polisterin, surat khabar, kulit siput, kulit kerang dan beg plastik ais batu untuk dibuat perhiasan.

“Sebab itu, Acik dianggap gila apabila suatu ketika menghadiri majlis, Acik kutip semua pinggan dan gelas polisterin yang dibuang merata-rata untuk dibawa pulang dijadikan perhiasan,” katanya.

Perlu pupuk semangat merdeka

Abdullah berkata, semangat kemerdekaan perlu dipupuk supaya rakyat Malaysia tahu menghargai perjuangan pemimpin terdahulu.

Sekiranya ia tidak diberi perhatian atau sekadar mengibarkan Jalur Gemilang tanpa semangat patriotik, sudah pasti ia memberi impak yang tidak bernilai.

“Saya lahir semasa sebelum merdeka, oleh itu peristiwa Hari Merdeka 31 Ogos 1957 akan kekal dalam ingatan sampai bila-bila.

“Ketika itu, saya masih kecil, tetapi tahu mahu menyambut kemerdekaan apabila semua ahli keluarga tidak kira kecil atau besar sama-sama menuju ke Bandar Hilir, Melaka.

“Kami hanya berjalan kaki dari Sungai Udang, walaupun penat akibat berjalan jauh tetapi selepas itu, perasaan gembira, lega dan bersyukur kami rasai. Apabila saya besar, baru saya sedar tentang kemerdekaan yang perlu dipertahankan kerana penat jerih pemimpin kemerdekaan berjuang untuk mendapat kejayaan ini,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar lebih banyak pihak menyokong usaha tersebut secara berterusan.

“Alangkah baiknya sekiranya Jalur Gemilang dipasang sentiasa seperti mana perang bendera semasa pilihan raya, kerana saya lihat lebih ramai yang gemar pasang bendera politik menjelang hari mengundi.

“Sekiranya semua orang mempraktikkan benda yang sama, sudah pasti ia menjadi satu kekurangan sekiranya ada antara individu atau mana-mana pihak yang mengabaikan pemasangan Jalur Gemilang menjelang Hari Merdeka,” katanya.


sumber:

No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..