Pages

Saturday, September 28, 2013

Gadis Melayu di pentas Ratu Cantik Muslimah Dunia

Gadis Melayu  Ratu Cantik Muslimah Dunia


Raut wajahnya menawan, senyumannya manis dan ditambah dengan gayanya persis seorang model profesional berjaya meletakkan Nurul Husna Zainal Abidin meraih gelaran "World Muslim Woman Netizen 2013" dalam pertandingan Ratu Cantik Muslimah Dunia baru-baru ini.

Ini adalah penyertaan pertama peserta Malaysia dalam pertandingan anjuran bekas hos utama stesen televisyen Indonesia, Eka Shanti yang dipecat kerana keengganannya menanggalkan tudung apabila diarah berbuat demikian ketika bertugas.

Pertandingan tahun ini disifatkan sebagai sebahagian daripada protes terhadap acara Ratu Cantik Dunia yang sepatutnya diadakan di Jakarta namun terpaksa ditukar lokasinya di Bali akibat ditentang keras oleh puak konservatif Islam.
Jadi bagaimana acara tersebut berbeza dengan pertandingan ratu cantik yang lain?

Pada malam peringkat akhir, pembukaan acara itu dimulakan dengan bacaan al-Quran sebelum peserta mula berjalan ke atas pentas dengan memakai gaun malam yang mencerminkan imej muslimah dengan pelbagai gaya hijab.

“Sesetengah peserta berjalan dengan keyakinan tinggi namun ada juga peserta yang dilihat kekok berjalan memakai kasut tinggi dan mengenakan gaun labuh,” lapor Jakarta Post.

Uniknya juara bagi pertandingan tersebut dipilih oleh tetamu kehormat iaitu juri terdiri daripada 100 kanak-kanak anak yatim.
Menceritakan pengalamannya, Nurul berkata, pertandingan itu menekankan betapa Islam itu indah dan semua aktiviti seperti bacaan al-Quran dijalankan berlandaskan syariat Islam.

Selain itu, gadis berusia 21 tahun ini turut berpandangan acara yang baik sebegini boleh diadakan di negara ini.

"Saya rasa sekiranya kerajaan mengadakan acara demikian pasti menerima sambutan mengalakkan kerana ia banyak mengajar mengenai ilmu Islam tanpa meminggirkan gaya fesyen berhijab.

"Ia tidak salah kerana boleh memberi peluang kepada muslimah di luar sana menimba pengalaman baru tambahan pula kerajaan boleh mengambil kesempatan untuk mempromosikan pelancongan negara," kata gadis yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu.

Nurul yang berjaya melayakkan diri sebagai 10 finalis berkata, dia mengetahui mengenai penganjuran acara itu melalui rakannnya.
"Menyertai pertandingan ini benar-benar membantu saya mendalami agama kerana semua aktiviti mengajar saya bagaimana untuk menjadi seorang muslimah dalam mendepani cabaran zaman serba moden," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kira-kira 20 wanita dari enam negara termasuk Indonesia, Brunei dan Iran menyertai perandingan itu bagi merebut gelaran juara dengan pengetahuan dan kemahiran mereka tentang Islam diuji.
Ia diadakan pada 18 September lalu di Jakarta dengan peserta Nigeria Obabiyi Aishah Ajibola, 21, dinobatkan sebagai juara.
Nurul berkata, kemenangan meraih gelaran World Muslim Woman Netizen 2013 adalah pengalaman berharga buat dirinya.

“Terkejut dan bersyukur, ini rezeki dari Allah sebagai wakil negara saya berjaya mengharumkan negara Malaysia ,ia pengalaman paling berharga buat saya," kata pelajar Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM ), Negeri Sembilan itu. – 26 September, 2013.




No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..