Pages

Tuesday, September 03, 2013

Harga minyak: Tanda negara semakin muflis

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) melihat tindakan Kerajaan BN meningkatkan harga minyak RON95 20 sen seliter sebagai satu mungkir janji yang terpaksa dilakukan ekoran perbelanjaan boros dan salah guna kewangan negara semasa PRU13.

Ia adalah tanda negara kita semakin muflis.

Ini juga adalah tanda bahawa Kerajaan BN semakin hari cuba menjauhkan diri daripada polisi memberi subsidi kerana pemberian subsidi bercanggah dengan polisi neo-liberal dan sistem pasaran kapitalis.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah berhujah bahawa hanya RON97 akan dinaikkan harga mengikut harga pasaran tetapi RON95 akan tetap disubsidi.

Kini terbukti bahawa selepas tamatnya PRU13, satu demi satu langkah diambil BN untuk mengambil balik sedikit keselesaan yang rakyat nikmati.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan langkah drastik untuk mendapatkan balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tetapi ia ditarik balik.

Kemudian kerajaan mengatakan bahawa pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terpaksa diperkenalkan dan kini pula harga minyak dinaikkan.

Semua ini menunjukkan kedudukan kewangan yang semakin rapuh.

Tindakan meningkatkan harga minyak akan menyebabkan harga barangan lain naik dan tanpa peningkatan gaji rakyat jelata, maka penderitaan rakyat akan berterusan.

Kerajaan juga semakin tidak serius untuk mengimplementasi Akta Gaji Minima dan nampaknya memberikan pelbagai laluan untuk majikan tidak melaksanakan akta ini.

Ramai majikan yang enggan membayar dan yang membayar pula, menstruktur semula gaji supaya elaun lain dimasukkan sebagai gaji.

Jika hujah bahawa subsidi dinikmati semua golongan maka ia adalah tidak adil tetapi mengapa dalam isu GST pula, cukai yang buat masa ini berbentuk progresif hendak ditukar menjadi regresif iaitu beban cukai beralih dari golongan korporat kepada golongan rakyat biasa.

Bukankah ini satu kontrodiksi.

Selain daripada itu, golongan berpendapatan rendah masih tidak mendapat pendidikan percuma, kesihatan percuma dan pengangkutan awam murah.

Di Venezuela, kekayaan petrol diguna untuk memastikan pendidikan dan perubatan percuma tetapi di sini ia dibebankan kepada rakyat.

Mengapa cukai korporat tidak ditingkatkan untuk memastikan subsidi dapat dikekalkan?

Mengapa setiap kali rakyat biasa perlu dibebankan.

PSM yakin bahawa Kerajaan BN terpaksa akur kepada acuan dan pembela rejim sistem neo-liberal yang membantah pemberian subsidi dan berniat pada masa depan memastikan tidak ada lagi subsidi untuk barangan lain.

PSM akan terus membantah kenaikan harga minyak ini, membantah perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan GST kerana segala tindakan ini hanya akan menguntungkan segelintir kecil rakyat dan menberi kesan kepada majority rakyat Malaysia.


*** Petikan ini diambil daripada blog rasmi Parti Sosialis Malaysia.


 

No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..