Pages

Saturday, October 12, 2013

LEGENDA BUAYA BUJANG SENANG


Jika disebut Buaya Bujang Senang sudah semestinya seseorang itu akan menggambarkan seekor buaya yang bersaiz besar dan juga terkenal dengan serangannya ke atas manusia lebih-lebih lagi di sepanjang Sungai Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak. Namun begitu berapa ramaikah yang mengetahui bahawa ada cerita mitos mengenai apa itu buaya keramat bernama bujang senang mengikut cerita-ceriti masyarakat setempat yang mendiami sekitar persisiran Sungai Batang Lupar. Mungkin cerita legenda buaya bujang senang ini adalah cerita sebenar yang kemudian ditokok tambah bagi mengindahkan penceritaan hanya Yang Maha Esa sahaja mengetahui halnya.

Diriwayatkan melalui cerita lisan orang tua-tua di dalam masyarakat Iban yang mendiami kawasan sekitar Sungai Skrang Sarawak, beratus-ratus tahun dahulu ketika adat ngayau atau adat memburu kepala masih lagi diamalkan di dalam masyarakat pribumi telah gah seorang pahlawan Iban yang bernama Lungu. Pahlawan Lungu ini diceritakan sebagai seorang pahlawan yang hebat terutama sekali sewaktu beliau menyertai ekspedisi mengayau kerana menyebut namanya sahaja musuh sudah gerun, Dikatakan bahawa Lungu telah banyak membunuh dan juga memotong kepala musuhnya dan kehebatannya bukan sahaja di kawasan sekitar Sungai Skrang namun sehingga ke Batang Lupar. Diceritakan juga bahawa Lungu ini kebal iaitu tidak lut senjata dan kerana itulah beliau di dalam setiap peperangan dengan mudah membunuh musuhnya dan tiada tercalitpun kesan kecederaan pada dirinya. Perkara akan hal kebalnya pahlawan Lungu ini telah menyebabkan musuh-musuhnya bertekad untuk mencari kelemahannya agar mudah mereka membunuh pahlawan Lungu ini kelak.

Pada satu ketika, maka bertekadlah musuh-musuh Lungu untuk menculik isteri kesayangan Lungu dan diharap dengan menculik isterinya maka dapatlah mereka mengetahui kelemahan pahlawan Lungu. Isteri kesayangan Lungu telah diculik dan disembunyikan di suatu kawasan tidak jauh daripada Sungai Batang Lupar. Apabila mengetahui bahawa isterinya telah diculik maka marahlah Lungu dan beliau dengan seorang diri telah mengejar penculik-penculik isterinya sehingga ke Sungai Batang Lupar. Seketika di dalam penculikan itu, isteri Lungu telah diseksa oleh musuh-musuh Lungu demi mendapatkan rahsia kekebalan Lungu. Dek kerana tidak tertahan kepada keseksaan tersebut, isteri Lungu telah secara tidak sengaja membuka rahsia bagaimana untuk menewaskan Lungu. Setelah mengetahui rahsia kelemahan Lungu, musuh-musuh Lungu dikatakan telah melepaskan isteri Lungu namun apabila isteri Lungu terlerai dari ikatan tali pada tangannya, dimasa beliau berlari maka pihak musuh Lungu telah membaling tombak ke arah badan isteri Lungu maka matilah isterinya yang tidak berdosa itu.

Lungu yang melihat pembunuhan isterinya itu telah naik radang lalu bertarung dengan musuh-musuhnya. Namun sayangnya tanpa Lungu sedari bahawa rahsia kekebalannya telah bocor di tangan musuh-musuhnya. Musuh-musuh Lungu dengan sengaja mengajak Lungu untuk bertarung dekat dengan air sungai kerana dikatakan kekebalan Lungu tidak menjadi sekiranya dia memijak air sungai ataupun bertarung di dalam sungai. Lungu yang sudah marah dan hanya ingin menuntut bela atas kematian isterinya yang dicintai sudah tidak mengindahkan pantangnya lagi dan terus bertarung. Akhirnya musuh-musuh Lungu berjaya membaling tombak dan kemudiannya Lungu tewas, Tidak cukup dengan kematian Lungu yang luka parah akibat ditombak, jasad Lungu juga disula terbalik dan mayat Lungu dan isterinya dibiarkan di tepi Sungai Batang Lupar agar ianya tenggelam dan dibawa oleh arus sungai yang deras apabila air pasang kelak.

Diriwayatkan bahawa mayat kedua-dua pasangan suami isteri iaitu Lungu dan isterinya setelah air pasang telah bertukar menjadi 2 ekor buaya besar. Salah seekor buaya besar ini mempunyai tanda belang putih dibelakangnya dan inilah yang dikenali sebagai Bujang Senang. Mengikut cerita orangtua, buaya Bujang Senang ini telah bersumpah akan menuntut bela atas kematian mereka dengan akan menjadikan setiap generasi yang berkaitan dengan musuh-musuh yang telah membunuh mereka sebagai korban. Sehingga sekarang masyarakat setempat di sekitar Sungai Batang Lupar masih lagi mempercayai bahawa buaya Bujang Senang itu tidak mati kerana dia adalah buaya keramat penghuni Sungai Batang Lupar.

Inilah sekelumit cerita legenda buaya Bujang Senang yang amat terkenal di Sarawak perkongsian bersama daripada Borneo Oracle untuk pembaca sekalian. Ramai manusia yang telah menjadi mangsanya dan kita masih lagi tidak mengetahui samada benar atau tidak bahawa Bujang Senang telah pun terkorban seperti yang diwar-warkan pada tahun 1992. Allahualam.

~ Kredit Borneo Oracle Cerita Legenda Sarawak~



No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..