Kota Bharu: “Saya terkejut melihat surah Yasin disimpan di ruang
simpanan barang di gerai burger di depan rumah kedai saya tidak terbakar
walaupun gerai burger itu musnah,” kata peniaga kedai makan, Suriana
Shafie, 28, yang kerugian kira-kira RM10,000 selepas rumah kedainya
musnah dalam kebakaran di Kampung Lundang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, Suriana bersama ibu bapa dan dua anaknya
tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kedai yang disewa sejak dua
tahun lalu musnah.
Menurut Suriana, sebelum kejadian, dia bersama ahli keluarganya
memindahkan barang di rumah kedai ke dalam kenderaan pacuan empat roda
untuk berpindah ke rumah baru di Peringat di sini.
Katanya, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan kecil di gerai burger di
depan rumah kedainya sebelum api marak membakar gerai dan merebak ke
rumah kedai.
“Saya terkejut dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana api merebak ke
seluruh rumah dan kami hanya sempat menyelamat sebuah peti sejuk dan
tong gas.
“Dalam keadaan kelam-kabut, saya memikirkan dua anak berusia tiga dan
empat tahun. Mujur ketika kejadian mereka berada di kawasan masjid
berhampiran,” katanya.
Suriana berkata, selepas api dipadamkan anggota bomba, jirannya yang
membantu mencari barangan terselamat dalam kebakaran itu menemui surah
Yasin di ruang penyimpanan barang gerai burger.
“Gerai burger terbakar dan semua barang di dalam rumah hangus, termasuk peralatan elektrik, perabot dan pakaian.
“Bagaimanapun, seorang jiran menemui surah Yasin yang tidak terbakar di
ruang penyimpanan barang gerai burger. Bagi saya, ini satu keajaiban,”
katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan
Penyelamat Kelantan Abdul Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima
panggilan kecemasan jam 7.28 malam sebelum 16 anggota dari Balai Bomba
dan Penyelamat Kota Bharu dihantar ke tempat kejadian.
sumber:http://www.hmetro.com.my/myMetro/art...cle/index_html
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..