Pages

Wednesday, October 30, 2013

Tukang masak hotel bubuh arak dalam masakan


Dua jenis arak yang dipercayai digunakan chef sebuah hotel di Jerantut.

KUANTAN - Seorang tukang masak sebuah hotel terkenal di Jerantut yang cuba menipu penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akhirnya mengaku menggunakan arak selepas disoal siasat.

Tukang masak berkenaan pada mulanya mengaku arak jenis wine itu adalah minumannya dan disimpan bersama bahan masakan lain termasuk sos dan kicap.

Bagaimanapun, selepas melihat tulisan tertera Gourmet Cooking Wine yang ditunjukkan penguatkuasa, dia bersetuju bahawa arak itu digunakan untuk memasak masakan Cina.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, dua jenis arak yang ditemui itu diimport dari China dan dipercayai digunakan ketika menyediakan masakan kepada pelanggan Islam kerana peralatan masakan sama tanpa sebarang pengasingan.

“Kandungan alkoholnya hanya satu peratus tetapi kita tetap serius dengan perkara ini bagi menangani kemaslahatan pelanggan Islam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Noridzuan berkata, semua tukang masak di hotel berkenaan bukan Muslim dan hotel itu juga tidak pernah memohon sijil halal tetapi pemantauan dilaksanakan bertujuan untuk mengetahui status halal masakan yang disajikan.

Menurutnya, pengurusan hotel tidak berminat memohon sijil halal kerana restoran di hadapan dapurnya menghidangkan minuman keras bagi pengunjung bukan Islam.

“Mereka juga tetap mahu meneruskan penggunaan ramuan dan aneka sos yang tidak dapat disahkan status halal yang tidak dapat menepati syarat dan prosedur pensijilan halal,” katanya.

Noridzuan berkata, pemantauan dilaksanakan bersama Pejabat Agama Islam Jerantut dan Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut.

Selepas lebih satu jam membuat pemeriksaan, katanya, kumpulan pemantau itu mendapati amalan kebersihan tidak memuaskan secara keseluruhan terutama di bahagian dapur dan peti sejuk.

“Sarang telur dan telur yang tidak dibasuh dan diletak berhampiran dengan tempat memasak dan semua pekerja di bahagian dapur tidak mendapat suntikan anti typhod serta gagal menghadiri kursus pengendalian makanan.

“Pihak hotel sebenarnya tidak melakukan sebarang pelanggaran Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal 2011) kerana tidak terdapat apa-apa pernyataan halal atau apa-apa perkataan atau objek yang boleh membawa pengertian halal di premis hotel itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan pelanggan Islam tidak mudah terpedaya dengan ajakan individu tertentu supaya mencuba masakan di hotel atau restoran terkenal yang tiada tanda halal.

Jaip juga menggesa premis makanan supaya lebih peka dengan keperluan penyediaan makanan halal bagi pengguna Islam terutama aspek ramuan yang jelas tidak halal.




sumber:

No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..