SHAH ALAM - Cuepacs mahu penambahbaikan skim perkhidmatan kakitangan
awam tidak terhad kepada 81 skim sebaliknya meliputi kesemua lebih 200
skim.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penambahbaikan skim perkhidmatan
awam perlu dibuat secara menyeluruh bagi mengelak produktiviti dalam
kalangan 1.3 juta penjawat awam terjejas jika 81 skim sahaja ditambah
baik.
"Kita berharap bukan untuk 81 skim sahaja, kita ada lebih 200 skim.
Kita mahu sebelum 31 Disember ini, kalau boleh semua skim dapat
penyelesaian,” katanya semasa melawat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
di Padang Jawa hari ini.
Sebelum ini, beliau berkata kesatuan sekerja yang terlibat dalam
penguatkuasaan seperti JPJ, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta
pihak berkuasa tempatan mengemukakan memorandum penambahbaikan skim
perkhidmatan masing-masing kepada kerajaan.
Begitu juga dengan kumpulan pentadbiran sistem maklumat dan kewangan serta kumpulan pengurusan dan profesional, katanya.
Omar berkata, Cuepacs akan mendengar taklimat Jabatan Perkhidmatan Awam
di Putrajaya esok berkaitan skim yang akan ditambah baik dan pihaknya
dijangka membangkitkan keperluan penambahbaikan kepada semua skim.
Beliau juga berkata, gred gaji permulaan bagi anggota penguatkuasa masih
rendah iaitu kira-kira RM800 sebulan berbanding gaji minimum yang
ditetapkan kerajaan sebanyak RM900 sebulan. - Bernama
KUCHING - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, satu
pekeliling mengenai 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di
bawah bajet 2014 akan dikeluarkan bulan depan untuk penjawat awam yang
diberikan peluang dari segi peningkatan gred jawatan.
Beliau, yang turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang
bersetuju mengadakan kajian semula skim perkhidmatan awam berkata, ia
telah sampai ke peringkat akhir setelah melalui satu proses ketat untuk
mendapatkan persetujuan.
"Semua skim ini kita buat kajian semula dengan melibatkan semua.
Kita bermesyuarat dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs), persatuan yang terlibat, semua ketua
jabatan dan ketua-ketua setiausaha," katanya kepada pemberita selepas
perasmian persidangan serantau Persatuan Pentadbiran Awam dan Pengurusan
Komanwel (Capam) 2013.
Persidangan itu dirasmikan Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak
Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai mewakili Ketua Menteri Tan Sri
Abdul Taib Mahmud di sini, semalam.
Ali berharap penjawat awam yang menerima surat tawaran akan
mempertimbang dengan baik perubahan skim masing-masing, yang
dilaksanakan daripada pelbagai peringkat mulai bulan depan.
Ali, yang juga naib presiden Capam, berkata persidangan serantau itu
yang merupakan forum multilateral mengenai pentadbiran awam dalam
kalangan negara Komanwel, akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan
selepas Kuching, yang dihadiri 336 peserta, yang terdiri daripada
anggota Capam dari 22 negara Komanwel, termasuk Malaysia. - Bernama
~ Perkeliling Perkhidmatan Bil 9/2013 KLIK SINI
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..