Pages

Wednesday, May 21, 2014

PM umum nama baharu pasangan panda bulan depan

  1.  
     
     
     

     
     
     SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan nama baharu bagi beruang panda gergasi dari China pada hari haiwan berkenaan dipertontonkan kepada umum akhir Jun ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel.

    Beliau berkata, nama baharu pasangan panda itu sudah dibincangkan antara Najib dan Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang.


    "Beliau sendiri (Najib) akan mengumumkan nama itu ketika melawat Zoo Negara nanti," katanya kepada media selepas menyambut ketibaan pasangan panda itu di Kompleks MASKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini.

    Pasangan panda gergasi dari China, Fengyi dan Fuwa, simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China, tiba di Malaysia kira-kira 7.53 pagi selepas diterbangkan melalui pesawat khas MASKargo Airbus 330-200 MH6462 dari Chengdu, China.

    Kedua-dua haiwan yang masing-masing berusia tujuh tahun itu kemudian dibawa terus ke Zoo Negara dan akan dikuarantinkan kira-kira sebulan di tempat khas yang siap dibina.

    Menjadi simbolik kepada sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara, pasangan panda itu dipinjamkan kerajaan China kepada Zoo Negara Malaysia bagi tempoh 10 tahun menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

    Melalui program perjanjian yang ditandatangani pada 2012 itu, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi, selain dapat membangun dan melatih kepakaran tempatan.
    Palanivel berkata, selain menjadi simbolik persahabatan antara China dan Malaysia, kedatangan pasangan panda itu juga dijangka mampu memberikan sokongan kepada Zoo Negara sekali gus mampu menarik lebih ramai pengunjung ke zoo berkenaan.

    Mengenai kos, beliau berkata setakat ini kerajaan membelanjakan kira-kira RM60 juta termasuk untuk pembinaan rumah untuk haiwan berkenaan yang berjumlah RM25 juta, RM20 juta untuk tempoh sewaan selama empat tahun dan RM15 juta untuk kos penyelenggaraan.

    Sementara itu, Huikang berkata beliau percaya pasangan beruang panda gergasi itu yang diberi sambutan hangat sebaik tiba di rumah kedua mereka di Malaysia, akan gembira sepanjang berada di sini untuk tempoh 10 tahun.

    "Tiada kelewatan langsung," katanya ketika menjawab soalan wartawan berhubung ketibaan pasangan beruang panda itu ke Malaysia.

    Beliau juga menjelaskan bahawa pasangan beruang panda gergasi - Fengyi dan Fuwa - simbol jalinan persahabatan Malaysia-China itu sepatutnya tiba sebelum hari ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China pada 31 Mei.

    Sebagai tambahan, beliau berkata banyak persiapan perlu dilakukan terutama dari segi aspek teknikal dan logistik sebelum ketibaan panda itu yang memerlukan persekitaran yang selesa.

    - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..