Pages

Friday, November 21, 2014

Ramai Pengguna Mungkin Beralih Ke RON97.



PETALING JAYA:*Harga baru RON97 yang diturunkan dari RM2.75 ke RM2.55 seliter besar kemungkinan menarik lebih ramai pengguna menggunakan bahan api itu di mana ramai pemilik kenderaan percaya ia lebih efisyen dan baik untuk enjin kenderaan.
Perkembangan ini juga dijangka dapat membantu meringankan beban kerajaan yang pada masa ini memberikan subsidi terhadap petrol RON95.

Timbalan Presiden Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia Datuk Zulkifli Mokti berkata beliau menjangkakan sehingga 15 hingga 20 peratus pengguna RON95 akan beralih kepada RON97.

"Kita tidak tahu angka yang tepat tetapi saya meramalkan anggarannya sebanyak itu. Apabila mereka membuat peralihan, ia akan membantu kerajaan menjimatkan subsidi, bermakna wang pembayar cukai boleh digunakan untuk tujuan lain," katanya.

Walaupun kedua-dua bahan api mempunyai standard yang tinggi, beliau berkata RON97 adalah jauh lebih hebat dan lebih bersifat mesra alam sekitar. 
 
 
"Prestasinya lebih baik dan penggunaannya lebih rendah," katanya kepada The Star.

Ketua Penyelidik RHB Bank Alexander Chia lebih konservatif dalam membuat anggaran.

"Saya tidak fikir ia akan mencapai 20 peratus kerana kos hidup yang semakin tinggi.

"Orang-orang yang beralih kepada RON97 mungkin adalah penggemar kereta atau mereka yang berfikir bahawa ia lebih baik dari segi kemampuan jarak.

"Saya berpendapat kurang daripada 10 peratus akan membuat peralihan," katanya sambil menambah kos untuk satu tangki penuh RON97 adalah kira-kira RM20 lebih tinggi berbanding satu tangki penuh RON95.

"Beberapa penjimatan kepada negara jelas akan berlaku apabila kerajaan kini memberi subsidi 13 sen bagi setiap liter RON95 di mana harga pasarannya adalah RM2.43," katanya.

Seorang guru, Nurul Nadia Ali, 28, adalah antara mereka yang bersedia untuk membayar lebih untuk RON97.

"Saya tidak kisah sangat tentang perbezaannya. Saya tidak fikir ia hanya lebih baik untuk enjin anda semata-mata, tetapi saya dengar ia lebih mesra alam sekitar, jadi saya mahu melakukan tanggungjawab saya," katanya.

Perancang kewangan Shakir Ameer, 29, berkata dia sering mengisi kereta Perodua Myvi miliknya dengan RON97 dan bukan RON95.

"Kualiti RON97 adalah lebih tinggi dan lebih cekap. Ia juga baik untuk enjin kereta. Sekarang harganya lebih rendah sedikit, saya boleh mengisi dengan lebih kerap," katanya.

Pereka grafik Richard Ho, 31, berkata walaupun tidak percaya dengan penjimatan tambahan, dia tidak keberatan berbelanja untuk kualiti petrol yang lebih tinggi.

Jurutera Heikal Rosnan, 29, berkata harga yang hampir sama membuatkan membayar untuk RON97 lebih berbaloi.

RON97 boleh menahan tahap mampatan yang lebih tinggi berbanding RON95 sebelum diledakkan, disebabkan oleh tambahan dalam bahan api yang lebih baik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata jika seseorang mahu beralih kepada RON97, ia akan pastinya dapat membantu dari segi liabiliti subsidi.

"Ini kerana RON97 tidak disubsidi dan berdasarkan kepada nilai pasaran," katanya.

























 














~ source kredit








No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..