Penguatkuasa PPDNKK Perlis memeriksa buah mempelam harum manis yang dijual di GBBS di Ulu Pauh.
ARAU - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak tertipu dengan jenama mempelam harum manis yang dijual di tepi-tepi jalan sekitar negeri ini.
Penolong Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis, Zulkarnain Kamis berkata, sejak mempelam harum manis dijual minggu lalu, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai yang mendakwa mereka ditipu oleh penjual.
Menurutnya, mengikut aduan yang diterima, penjual mempamerkan harga dan nama mempelam harum manis namun apabila dibawa pulang dan dimakan pembeli mendakwa buah yang dibeli bukan mempelam harum manis.
“Kita tak mahu peniaga mengambil kesempatan menjual buah manga lain namun harga dan namanya adalah buah mempelam Harum Manis hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
“Sekiranya terdapat penjual yang menipu mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 iaitu sama ada mereka boleh
dikenakan kompaun atau tindakan mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan di Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) Ulu Pauh, dekat sini, semalam.
Pemeriksaan tersebut dilakukan bersama Jabatan Pertanian Negeri selepas PPDNKK menerima aduan orang ramai bahawa terdapat peniaga menipu menjual mempelam harum manis.
Zulkarnain berkata, semasa pemeriksaan tersebut, Jabatan Pertanian mendapati mempelam harum manis yang dijual di gerai tersebut adalah asli dan tiada tindakan dikenakan terhadap peniaga di situ.
Sementara itu, Penolong Pegawai Kanan Seksyen Buah-buahan Jabatan Pertanian Perlis, Ahmad Puad Kasim berkata, pihaknya menyarankan orang ramai membeli buah tersebut di ladang Bukit Bintang Batu Pahat, Kangar atau di gerai GBBS di sekitar negeri ini.
Menurutnya, untuk mengenali keaslian buah tersebut kulitnya kini ditambah nilai kosmetik menjadi warna kuning serta ia berbentuk montok bulat tirus di bahagian bawah serta isinya kekuningan dan oren.
“Harganya kini dijual antara RM20 hingga RM25 sekilogram mengikut gred dan buah itu dijangka dapat diperoleh dengan lebih banyak pada hujung bulan ini,” katanya.
sumber
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..