Pages
▼
Saturday, December 31, 2016
Wang RM1 salah cetak dijual RM1,350
Abdul Aziz Rahim dan isterinya, Siti Aminah menunjukkan antara koleksi wang syiling dan kertas miliknya yang bernilai tinggi.– utusan /Mohamed Saari
LABIS 28 Dis. - Hobi mengumpul mata wang sebagai koleksi bukan semudah yang disangka seperti mencari dan menyimpan, malah banyak ciri yang perlu diambil kira terutamanya keadaan fizikal selain tahun duit tersebut dihasilkan.
Selain usia serta keadaan fizikal yang menjadi penentu ketinggian nilainya, jumlah yang dikeluarkan serta nombor siri antara faktor utama yang diambil kira oleh pengumpul mata wang dalam menentukan nilainya.
Pengumpul mata wang selalunya tidak berkira dan sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mendapatkan mata wang yang diingini sebagai koleksi mahupun untuk dijual semula kepada peminat lain.
Menurut Muslim Abdul Aziz, 53, seorang pengumpul mata wang yang sudah ‘jatuh cinta’ dengan hobi tersebut sejak hampir 30 tahun lalu, banyak perkara yang menjadikan duit lama mahupun baharu mampu bernilai tinggi.
“Selalunya ciri-ciri duit yang mempunyai nilai tinggi hanya diketahui oleh mereka yang benar-benar berminat untuk mempelajarinya atau seorang yang telah menjadi pengumpul.
“Ramai yang beranggapan semakin lama usia duit itu semakin tinggi nilainya. Sebenarnya duit baharu yang masih sah dalam pasaran juga mempunyai nilai tinggi sekiranya terdapat sebarang kesilapan atau kecacatan yang tidak disengajakan ketika dicetak,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Malah dia pernah memiliki sekeping wang kertas RM1 baharu yang senget cetakannya dan mampu menjualnya kepada seorang pengumpul wang dengan harga RM1,350 beberapa bulan lalu.
Menurutnya, siri wang kertas cetakan terhad atau siri awal seperti A1 serta siri Z yang sukar diperoleh turut menjadikan duit itu tinggi nilainya sehingga mencecah puluhan atau ratusan kali ganda daripada nilai sah lakunya dalam pasaran.
“Sepanjang hampir 30 tahun menjadi pengumpul mata wang, saya bukan sahaja telah membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan wang yang belum terdapat dalam koleksi, malah sering menjelajah ke beberapa negeri untuk mendapatkan bahan koleksi.
“Ketika ini saya menyimpan pelbagai jenis wang kertas dan syiling lama serta baharu yang dianggarkan bernilai mencecah RM500,000 dalam pasaran. Tapi nilai tersebut bukan nilai sah laku wang tersebut, sebaliknya nilai semasa bagi pengumpul mata wang,” katanya.
Seorang rakannya, Abdul Aziz Rahim, 60, mengakui baru berjinak-jinak secara serius sebagai pengumpul mata wang selepas berkenalan dengan Muslim sejak dua tahun lalu.
Sebelum ini dia memang menyimpan wang syiling lama, namun hanya sekadar hobi, malah pernah patah semangat untuk terus mengumpul selepas semua wang tersebut hilang ketika melakukan kerja-kerja mengubah suai rumah 15 tahun lalu.
Walaupun nilai wang dalam simpanannya tidak sebanyak yang dimiliki oleh Muslim, namun dia tidak pernah menyimpannya di rumah sewaktu meninggalkan kediaman tersebut tanpa penghuni dalam jangka masa lama.
“Saya akan membawa wang tersebut atau meminta bantuan Muslim untuk menyimpannya sekira saya meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama seperti pulang ke kampung.
“Saya tidak mahu pengalaman kehilangan wang syiling lama dahulu berulang lagi, bukan sahaja kerana nilainya, malah kesukaran mendapatkannya semula jika hilang membuatkan saya serik dan* sentiasa berhati-hati,” katanya.
WANG LAMA RM80000
~ kredit Sumber
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..