Pages

Thursday, January 12, 2017

Berleluasa dijual walaupun sudah diharamkan








Laporan media mengenai keputusan kerajaan mengharamkan jeli kristal, laporan Harian Metro semalam dan pistol serta senapang mainan. FOTO Apiet

Kuala Lumpur: Penjualan jeli kristal atau bebola jeli sebenarnya sudah diharamkan kerajaan sejak 26 Ogos 2011, namun ia masih dijual secara berleluasa di kedai menjual alat permainan.

Bahan berwarna-warni itu diharamkan kerana membahayakan kesihatan sekiranya tertelan kerana sifatnya yang menyerap air.

Bagaimanapun, ia muncul kembali dalam pasaran sejak kebelakangan ini apabila dijual sebagai peluru untuk pistol dan senapang mainan.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kedai menjual alat permainan di sini mendapati, penjualannya dilakukan secara terbuka dan meluas.

Jurujual yang hanya mahu dikenali sebagai Zack berkata, pistol dengan peluru jeli kristal boleh dibeli pada harga serendah RM7.

"Kalau beli yang senapang ini pula harga pasaran RM172, tetapi kalau beli borong 10 ke atas dapat separuh harga setiap satu.

"Dalam bungkusan ini memang dah siap dengan peluru isian semula kira-kira lima paket dan kalau beli asing, sepeket RM6," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Peluru jeli kristal yang disertakan dalam bungkusan permainan sudah direndam dengan air dan dalam keadaan mengembang.

Bagi yang isian semula, ia di pek dalam bungkusan lebih kecil dan perlu dicampur dengan air sebelum dijadikan peluru untuk alat permainan itu.

Zack memberitahu, ada beberapa model yang pistol dan senapang mainan itu dilengkapi dengan pelindung mata.

"Kalau yang senapang besar ini, orang dewasa saja boleh main sebab peluru dia (jeli kristal) agak laju.

"Budak kecil kalau main kena pakai peluru jenis lain pula," katanya.

Sementara itu, ketika diamati pada kotak bungkusan, pistol dan senapang dengan peluru jeli kristal itu adalah buatan China yang dijual dengan pelbagai saiz.

Jika pistol mainan, terdapat peringatan di kotak terbabit yang mengatakan bahawa ia hanya sesuai untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas.

Bagi senapang yang saiznya lebih besar pula, peringatan mengatakan yang ia untuk permainan kanak-kanak berusia lapan tahun ke atas.

Ada juga peringatan yang mengatakan jeli kristal itu bahaya jika tertelan.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang bayi berusia 10 bulan terpaksa dibedah di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru selepas tertelan jeli kristal berkenaan.

Bayi berkenaan muntah, dua jam selepas dia tertelan jeli kristal yang digunakan sebagai peluru untuk pistol mainan di rumahnya di Parit Raja, Batu Pahat, Johor, 6 Januari lalu.










KREDIT





No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..