Pages

Tuesday, August 15, 2017

Kerap dipanggil ‘rasmi’ majlis



KEUNIKAN nama ‘Rasmi Abdullah’ meninggalkan pelbagai kisah tersendiri buat empunya nama sejak kecil sehinggalah hari ini.
Nama diberi bapa, Abdullah Magiri, 60, menjadikan Rasmi, 34, istimewa dan unik serta paling menonjol sebagai anak sulung daripada empat beradik.
“Masa sekolah, ramai juga kawan-kawan pelik dengan nama saya sebab terlalu ringkas dan pendek.
“Setiap kali ada majlis perasmian, mesti kawan-kawan kata, ‘juru acara panggil kau tu Rasmi, pergilah’,” katanya kepada Sinar Harian.
Rasmi berkata, pada mulanya memang rasa geram juga dengan kawan-kawan yang gemar mengejek namanya, namun dia tidak terlalu mengambil pusing dengan usikan tersebut.
Katanya, walaupun ejaan namanya nampak pelik seperti tidak cukup suku kata, namun dia menganggap tiada apa yang perlu dibimbangkan.
“Apa yang penting, kawan-kawan senang panggil nama saya...Ini tak, ada nama sampai berbelit nak sebut dan menyusahkan semua orang.
“Bila orang terpaksa baca sampai dua, tiga kali nama saya yang tertera pada buku atau dokumen, saya pasti tolong bacakan betul-betul supaya mereka tak salah eja dan baca,” katanya.
MyKad milik Rasmi yang menunjukkan nama istimewa diberi oleh bapanya.
Ketika ditanya adakah dia sering terasa hati apabila orang sekeliling mentertawakan namanya, Rasmi berkata, dia tidak ambil hati dan lebih suka berfikiran positif dan menganggap namanya itu sangat unik serta mudah diingati.
“Tapi ramai juga yang ingat saya mualaf kerana nama ayah Abdullah, tapi saya memang beragama Islam sejak lahir.
“Tapi bila dah berkerjaya, nama tu macam susah juga sebab tiap kali menemu ramah orang, mesti mereka ingat pemilik nama tu lelaki,” katanya yang pernah menjadi wartawan sebuah akhbar arus perdana.
Rasmi yang pernah menjadi wartawan berkata, disebabkan namanya unik,  dia mudah dikenali oleh majikannya kerana nama itu jarang didengari.
Katanya, 'byline' (nama) pun senang ditulis terutamanya di muka hadapan akhbar.
“Pernah beberapa kali juga nama pelik tu menghiasi muka depan surat khabar antaranya kes kematian Teo Beng Hock dan beberapa laporan khas semasa bertugas bersama Utusan Malaysia dan Harian Metro.
“Dahulu sewaktu bertugas di Melaka, seorang kawan wartawan kata kalau pergi periksa nama kau di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), mesti kau seorang saja ada nama macam tu kan.... tapi mungkin ada juga yang guna nama itu tapi tidaklah ramai,” katanya seronok berkongsi kisah namanya.
Selain itu, sejak menceburi bidang perniagaan pakaian terpakai, Rasmi memberitahu, kadang-kadang ada juga pembekal yang bertanya adakah betul nama itu atau mereka yang salah dengar.
Katanya, biasa mereka akan tersalah panggil jadi 'Resmi' mungkin lebih nampak keperempuanan, tetapi lama-lama mereka sudah biasa dengan panggilan Rasmi.
Bagaimanapun, baginya,  ibu bapa yang beri nama panjang-panjang hari ini mungkin mengikut peredaran zaman dan semua ibu bapa mahu nama anak-anak mereka mempunyai maksud yang terindah.
“Tapi saya tidaklah memberi nama terlalu panjang untuk kedua cahaya mata hanya sekadar mempunyai maksud baik-baik sahaja.
“Adik beradik lelaki saya pun nama pendek-pendek sahaja seperti Mubarak, 24, dan Mahadir, 27...Cuma adik bongsu sahaja nama panjang sedikit iaitu Nursyuhadatul Ain,16,” katanya yang  aktif menjalankan perniagaan pakaian terpakai di Tawau, Sabah.












sumber kredit



No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..