Kapal berkuasa nuklear AS singgah di P Klang
Kapal induk pesawat udara Amerika Syarikat (AS) USS George Washington
melakukan persinggahan sulung di Pelabuhan Klang hari ini, bertujuan
antara lain mempromosikan kerjasama dan hubungan dua hala antara AS dan
Malaysia.
Pegawai Pemerintahnya Kapten Greg Fenton berkata persinggahan selama
lima hari itu akan memberi peluang kepada pelayar untuk memperluaskan
kefahaman mereka mengenai persekitaran maritim Malaysia.
"Tujuan utama ialah mendengar bagaimana angkatan tentera Malaysia
menjalankan tugas mereka dan bagaimana kami boleh belajar daripada
mereka.
"Pelayar kami menawar diri untuk menyertai enam projek komuniti ketika
berada di sini bagi melibatkan diri dengan masyarakat setempat," katanya
kepada kumpulan pemberita yang dibawa melawat kapal berkenaan, di Port
Klang Cruise Centre, di Pelabuhan Klang.
Antara projek komuniti berkenaan ialah kerja sukarela di sekolah untuk
kanak-kanak pelarian Myanmar dan rumah kanak-kanak Juara-Glad Tidings
Home, katanya.
Fenton berkata anak kapal juga akan bertemu keluarga rakyat Amerika yang
berada di Pelabuhan Klang menerusi program Kuala Lumpur American Sailor
Socials (KLASS).
Sementara itu katanya lebih 500 orang kenamaan Malaysia termasuk pegawai
tentera akan dirai dalam satu majlis di atas kapal itu esok.
USS George Washington yang berkhidmat sejak 4 Julai 1992 dengan 5,000
anak kapal dijadual menganjurkan 11 lawatan untuk ahli perniagaan
Malaysia dan pegawai tentera.
Kapal itu bersama sayap udaranya Carrier Air Wing 5, menyediakan pasukan
siap siaga untuk bertindak yang melindungi dan mempertahankan
kepentingan maritim AS dan sekutunya di rantau Asia Pasifik.
- Bernama
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..