Pages

Monday, February 17, 2014

Restoran di Paris larang pelanggan ambil gambar makanan muat naik ke laman sosial

~ gambar hiasan
Paris: Jika anda cuba untuk mengambil gambar hidangan makan malam anda di restoran mewah Perancis selepas ini, jangan terkejut jika seorang chef menyerbu keluar dari dapur dengan marah.

 
 Bosan dengan sikap sesetengah pengunjung yang merakamkan gambar melalui telefon pintar mereka untuk dimuatkan dalam rangkaian sosial, beberapa restoran pilihan Michelin Perancis ini cuba untuk menghalang apa yang disifatkan mereka sebagai ‘porno makanan’.


Penulis blog makanan dan beberapa chef bagaimanapun mempertahankan gambar terbabit sebagai publisiti percuma tetapi bagi kebanyakan chef mereka menyifatkan perkongsian itu sebagai ‘melampau.’

Rehat untuk pelanggan

“Ada sesuatu tempat dan masa untuk semuanya,” kata Alexandre Gauthier, chef di La Grenouillere di bandar utara La Madelaine-sous-Montreuil.

“Kami cuba memberikan pelanggan kami rehat seketika dalam hidup mereka. Untuk itu, anda perlu menutup telefon bimbit anda,” katanya.

Sebaik mengenakan larangan mengambil gambar di restorannya secara rasmi, Gauthier meletakkan imej kamera dengan tanda palang pada menu beliau.

“Orang ramai kini tidak mahu berenggang dengan telefon,” katanya. “Sebelum ini mereka mengambil gambar keluarga, nenek tetapi kini gambar makanan pula,” katanya.

“Ia tidak mengapa, tetapi kami adalah sebuah restoran yang tidak menggunakan lampu terang, jadi mereka terpaksa menggunakan ‘flash’. Setiap hidangan akan ‘menghentikan segala-galanya’ atau gambar diambil semula hingga tiga kali.

“Ia kemudian dihantar ke Twitter, komen dibuat dan dibalas tetapi akhirnya hidangan menjadi sejuk.”

Gilles Goujon, chef di L’Auberge du Vieux Puits yang dianugerahkan tiga bintang di bandar selatan Fontjoncouse berkata beliau semakin kecewa dengan kelemahan etika di kalangan jurugambar makanan amatur ini.

Katanya gambar makanan terbabit ‘menghilangkan kejutan’ sesetengah hidangan beliau dan ‘merampas sedikit harta intelektual’ beliau.

Itu belum termasuk gambar yang diambil daripada telefon yang ‘tidak terlalu pintar’ yang hasilnya jarang sekali baik.

“Ia tidak memberikan imej terbaik kerja kami. Malah menjengkelkan,” katanya.

“Sukar untuk melarang sebenarnya. Saya cuba mencari cara terbaik untuk mengatakannya melalui menu tetapi belum menemui formula terbaik untuk membuatkan orang ramai tidak marah,” kata Goujan.
AFP


~ sumber

No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..