Pages

Monday, February 17, 2014

Tenggelam bersama RM3,500


Kota Bharu: Seorang pemuda sempat menjerit meminta tolong sebelum lemas bersama wang tunai RM3,500 yang disimpan di dalam poket seluar, dalam kejadian di Sungai Seterpa, Binjai, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi, mangsa, Mohd Hanif Mohd Zain, 20, dari Kampung Belukar, Bukit Marak, dekat sini, lemas di sungai itu selepas dikatakan membuang air kecil ketika memancing bersama rakan di Kolam Memancing 99 Seterpa, berhampiran sungai berkenaan.


Bagaimanapun, rakan mangsa hanya memaklumkan kejadian itu kepada ayah mangsa, Mohd Zain Kassin, 60, pada jam 11 pagi kerana menyangka keluarga mangsa berada di Machang.

Mohd Zain kemudian ke tempat kejadian dan menghubungi bomba.
Foto
ANGGOTA PPDA mengangkat mayat mangsa yang ditemui di dasar Sungai Seterpa, Binjai.

Mayat Mohd Hanif ditemui pada jam 4.50 petang, kelmarin oleh sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan sebelum diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat.

Mohd Zain berkata, sebelum kejadian, dia sempat meminta arwah mengeluarkan RM2,000 dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sambil menyerahkan kad bank sebelum arwah memaklumkan mahu keluar memancing bersama rakannya.

Katanya, sebelum itu, isterinya, Hameedah Kasor, 52, turut memberikan RM1,500 kepada arwah bagi membeli besi untuk membuat pagar kedai runcitnya yang akan dibuka tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, pada jam 11 pagi tadi (kelmarin) saya dimaklumkan Mohd Hanif lemas di sungai.

“Rakan arwah yang memancing bersama-samanya mendakwa lambat memaklumkan kejadian itu kerana terlebih dulu ke Machang kerana menyangka saya di sana,” katanya.

Menurutnya, dia segera ke tempat kejadian dan menghubungi bomba sebelum mayat anaknya ditemui.

~ sumber~

No comments:

Post a Comment

~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..