GAMBAR menunjukkan seekor badak sumbu dipindahkan dengan menggunakan sebuah helikopter.
CAPE TOWN - Lebih 500 ekor badak sumbu termasuk badak sumbu hitam dipindahkan dengan menggunakan helikopter, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Haiwan-haiwan itu dipindahkan melalui helikopter kerana ia menjadi sasaran pemburu-pemburu haram ekoran permintaan tinggi terhadap tanduknya sejak kebelakangan ini.
Angka itu menunjukkan peningkatan pembunuhan yang mengejutkan apabila hanya 13 ekor badak sumbu dibunuh pada tahun 2007 berbanding 1,004 haiwan itu dibunuh pada tahun lalu.
Pada tahun ini, sebanyak 630 badak sumbu kehilangan nyawa dan 408 ekor daripada jumlah itu dibunuh di Taman Negara Kruger, timur laut Afrika Selatan.
Pengurus projek memindahkan haiwan itu, Dr. Jacques Flamand berkata: "Kami kerap menggunakan lori untuk memindahkan badak-badak sumbu itu kerana laluan yang teruk atau diterbangkan melalui udara.
"Prosedur itu membuktikan helikopter lebih selamat digunakan. Sebagai seorang doktor haiwan, itu adalah pilihan saya kerana ia cepat dan tidak berbahaya untuk badak sumbu itu," katanya.
Menurutnya, kesemua badak sumbu itu telah mula makan sebaik sahaja ia dibebaskan.
Pada kebiasaannya, sebuah helikopter akan mengambil kurang dari 10 minit untuk memindahkan badak sumbu itu.
Dalam pada itu, sebuah klip video menunjukkan seekor badak sumbu hitam diterbangkan dari Taman Negara Kruger, timur laut Afrika Selatan ke tanah rizab yang seluas 34,000 hektar di Kwa Zulu Natal, Afrika Selatan.
Kaki dan tangan haiwan itu diikat sebelum dipindahkan ke kawasan itu. - AGENSI
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..