KUALA LUMPUR: Ketibaan dua panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi ke Malaysia
hari ini mengundang kritikan hebat di kalangan rakyat negara ini kerana
ia disifatkan sebagai satu pembaziran.
Rata-rata rakyat negara ini meluahkan kritikan mereka di dalam media sosial seperti Facebook.
Malah ada di antara mereka menyifatkan kerajaan telah melakukan
pembaziran di kala rakyat sedang terhimpit dengan pelbagai kenaikan kos
hidup termasuk berhadapan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
yang akan diperkenalkan.
Beberapa komen pengguna Facebook yang tidak berpuas hati dengan kos
perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan semata-mata untuk dua ekor panda
itu.
Airil Zack: Klu lah duit perblanjaan brjuta2 tu dibuat ntuk mmbina
rumah2 kos rendah khas ntuk rakyat kan bagus. Bak kata pepatah; panda
dihutan dirumahkan, rakyat dinegara sendiri mati merempat smpai 7
kturunan.
Alin Ajel: Smlm baru baca kisah satu keluarga 'manusia' terpaksa tido di bawah jambatan di kuala lumpur.
Faisal Salih: Kos buat rumah panda nie dh x masuk akal..watpe abiskn duit cmtu banyak? Baik bantu rakyat yg memerlukn..
Shahril Nizam: Apa dapat tgk panda?....dtg2 melawat dia tgh tdo...tiket
ntah bape ke byr....membazir...baik bwk famili makan2...kenyang jugak..
Bukan itu sahaja, Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia juga berpendapat
keutamaan perlu diberikan memastikan survival haiwan itu di habitat
liar.
Melainkan hasil perjanjian itu membawa pulangan positif kepada
pemuliharaan panda dan hidupan liar, WWF melihat ia sebagai satu
pembaziran kos.
"Ini kerana kos RM3 juta setahun untuk membiayai kedua panda itu dilihat
lebih baik digunakan untuk program pemuliharaan haiwan lain khususnya
haiwan terancam di malaysia seperti harimau, penyu, orang utan dan badak
Sumatra," tegas WWF.
Pasangan panda itu dipinjamkan China kepada Malaysia atas dasar setiakawan bahkan ianya turut membabitkan kos kepada negara ini.
Malaysia perlu membayar kepada China sekitar RM3 juta setahun untuk tempoh 10 tahun bagi membela haiwan berkenaan.
Perkara itu sepertimana dipersetujui dalam Perjanjian Kerjasama
Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi yang ditandatangani antara
Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China pada 15 Jun 2012.
Bagi menempatkan panda berkenaan kerajaan telah membelanjakan RM25 juta
untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara melibatkan kawasan
eksibit khas berkeluasan 1.6 hektar.
Kos penjagaan panda oleh Zoo Negara pula dianggarkan RM1.5 juta setahun.
Sekiranya kedua panda membiak, Malaysia perlu membayar China sebanyak
RM2 juta dan hanya boleh menyimpan bayi panda itu untuk tempoh 2 tahun.
Kesediaan kerajaan China meminjamkan beruang panda itu disifat sebagai
simbol keakraban hubungan kedua negara yang bakal meraikan ulang tahun
ke-40 jalinan diplomatik sejak 1974.
Sejumlah RM15 juta ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala bakinya oleh kerajaan.
- HARAKAHDAILY 21/5/2014