Apatah lagi sebanyak 18 nyawa
terkorban termasuk kanak-kanak sudah tentu mencalarkan imej Gunung
Kinbabalu serta Sabah sebagai antara kawasan utama tumpuan pelancong di
negara ini.
Untuk itu adalah perlu satu siasatan
serta kajian menyeluruh bagi mengenal pasti tahap serius kesan gempa di
beberapa kawasan di Negeri Bawah Bayu itu, untuk mengelak kejadian buruk
ini berulang.
Untuk mendapat penjelasan lanjut serta punca kejadian ini berlaku, wartawan Mingguan Malaysia,
AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan RASDAN AHMAD telah menemubual
pensyarah di Jabatan Geologi Universiti Malaysia Malaya (UM) Profesor
Madya Mustaffa Kamal Shuib bagi mendapatkan kepastian sebenar kejadian
gempa bumi ini.
Mingguan: Mungkin Prof. boleh kongsikan punca berlakunya gempa bumi di Ranau, Sabah?
MustaFFa Kamal: Walaupun
kita berada agak terkedalam ataupun sedikit keluar daripada kawasan
Lingkaran Api Pasifik, tetapi kita masih terkena bahang-bahang yang
berlaku di kawasan lingkaran tersebut. Maknanya apa-apa kesan tekanan
yang berlaku di sekeliling, kita akan turut terasa. Dan kita akan
terhimpit kerana kejadian yang berlaku di Ranau baru-baru ini berada di
kawasan yang berhampiran dengan beberapa sempadan plat gegaran antaranya
plat dari Filipina dan Eurasia. Maka Sabah telah terhimpit dengan
keadaan ini.
Jadi kejadian ini berlaku apabila
tekanan-tekanan ini membebas atau menyahkan tekanan ini dengan
menghasilkan pergerakan-pergerakan daripada satah-satah yang lemah. Di
bumi ini, satah-satah lemah ini adalah sesar-sesar yang telah lama wujud
dan setiap sesar ini akan tergelincir. Apabila berlaku gelinciran maka
terbentuklah kejadian gempa bumi itu.
Apakah terdapat kemungkinan berlakunya kejadian letupan gunung berapi di Sabah?
MUSTAFFA KAMAL: Di Sabah
terdapat dua tempat di mana kita temui kesan-kesan gunung berapi iaitu
di Semporna dan di Tawau. Di Tawau masih kekal ada kawah gunung berapi
tetapi gunung berapi tersebut sudah lama tidak aktif. Oleh itu kejadian
gempa bumi yang berlaku di Ranau baru-baru ini tidak ada kena mengena
dengan kawasan gunung berapi. Saya tidak menolak kemungkinan akan
berlakunya kejadian gunung berapi namun keberangkalian itu untuk berlaku
adalah cukup tipis.
Sejak tahun 1960-an lagi lebih 80
kali kejadian gempa kecil berlaku di Sabah terutamanya di Lahad Datu,
adakah kejadian ini berpusat di Sabah atau cuma kesan gegaran dari luar?
MUSTAFFA KAMAL:
Kejadian gempa bumi kecil ini sebenarnya berlaku dari pusat gegaran di
Sabah itu sendiri. Contohnya di Ranau, gegaran itu berlaku dari pusat
gegaran betul-betul di bawah Gunung Kinabalu yang mempunyai kedalaman
sepanjang 10 kilometer. Maknanya gegaran yang berlaku di Ranau itu tidak
melibatkan gegaran dari luar Sabah.
Di Sabah sebenarnya terdapat banyak lagi
pusat gegaran ini antaranya zon yang aktif dibahagikan kepada tiga zon
merah (aktif) iaitu zon tengah, Sandakan dan Semporna. Terdapat juga
zon-zon lain tetapi zon ini adalah zon hitam iaitu kawasan yang tidak
aktif kerana sesar-sesarnya telah lama. Namun, sesar-sesar lama inilah
sebenarnya yang menghasilkan sesar-sesar baharu sehingga menyebabkan
kejadian gempa bumi ini berlaku.
Melihat kepada peristiwa di Sabah apakah kejadian gempa kuat boleh berlaku di Semenanjung Malaysia?
MUSTAFFA KAMAL:
Sebenarnya Sabah masih terletak di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik
namun di Sabah masih lagi terasa aktiviti-aktiviti yang terhasil dari
kawasan terdekat dengan lingkaran api ini seperti dari Filipina dan
negara-negara Eurasia. Manakala di Semenanjung pula, sebelum ini
kejadian gempa bumi tidak pernah berlaku. Sekiranya ada kejadian gegaran
kecil sebelum ini, itu adalah berpunca dari gelinciran plat di Sunda,
Sumatera, Indonesia. Namun sejak 2007 kejadian gempa bumi kecil mula
berlaku di Semenanjung dan gempa kecil itu berlaku dengan pusatnya di
Semenanjung sendiri.
Contohnya gempa yang berlaku di Janda Baik,
Bentong, Pahang pada November 2007. Kemudian berlaku di Jerantut, Pahang
iaitu pada Mac 2009 kemudiannya, di Manjung, Perak 29 April 2009 dan
akhir sekali di kawasan selatan seperti di Kuala Pilah, Negeri Sembilan
pada 30 November 2009. Kesemua gegaran yang dihasilkan ini adalah kurang
dari 3.5 magnitud dan dikategorikan sebagai gegaran lemah.
Gegaran-gegaran seperti ini tidak akan menyebabkan kerosakan kepada
bangunan atau rumah.
Kita akan hanya merasai gegaran kecil sahaja.
Namun kejadian gempa sebesar 2.6 magnitud yang dilaporkan terhasil di
Tasik Kenyir, Terengganu pada 2010 berlaku bukannya disebabkan oleh
gelinciran plat tetapi disebabkan oleh aktiviti empangan besar di sana.
Punca gegaran ini berlaku apabila kita terhimpit oleh beberapa kawasan
lingkaran api seperti yang berlaku di Sabah. Kawasan Semenanjung juga
dihimpit dengan lingkaran api seperti dari Plat Filipina, Plat
India-Australia dan Plat Eurasia-Sunda, dan kita berada dalam keadaan
tekanan dari kawasan-kawasan ini.
Kejadian-kejadian gegaran kecil yang berlaku
di Semenanjung ini juga puncanya hampir sama dengan gegaran-gegaran yang
berlaku di Sabah. Kesemua kejadian ini terjadi berpunca setelah gegaran
besar yang berlaku di Aceh, Indonesia pada 2004. Maknanya kesan yang
berlaku di Aceh itu juga telah menyebabkan berlakunya tekanan terhadap
Semenanjung sehingga berlakunya kejadian gegaran kecil.
Gegaran yang berlaku di Aceh adalah satu
gegaran cukup besar yang menyebabkan tekanan itu terkumpul di
Semenanjung. Selepas itu, Aceh turut mengalami gegaran susulan, misalnya
pada 2007. Gegaran-gegaran yang berlaku di Aceh ini kemudiannya
menghimpunkan tekanan kepada kita dan disebabkan itulah tekanan tersebut
keluar dan berlakulah gegaran-gegaran kecil di Semenanjung.
Pada pandangan saya, lebih baik tekanan ini
dikeluarkan dengan gegaran yang berskala kecil kerana sekiranya tekanan
ini terhimpun dan hanya dikeluarkan dengan satu kejadian gempa, maka
satu gempa bumi berskala besar akan terhasil dan ini akan membahayakan
kita.
Maksudnya, kemungkinan berlakunya gempa di Semenanjung tetap ada?
MUSTAFFA KAMAL: Jika
kita lihat secara terperinci, Malaysia sebenarnya berada cukup jauh
dari kawasan Lingkaran Api Pasifik. Jadi, tekanan daripada
kawasan-kawasan lingkaran terdekat agak sukar untuk masuk atau menembusi
Malaysia. Jika berlaku gegaran mungkin hanya berskala 3.5 magnitud di
Semenanjung Malaysia dan itu boleh dianggap sebagai gegaran yang
terbesar.
Bagi saya besar atau kecil skala itu tidak
mengapa namun apa yang membimbangkan adalah kesannya kepada persekitaran
kita nanti. Ada dua kesan yang akan berlaku setelah kejadian ini.
Pertama adalah ketika kejadian gempa besar di Aceh sehingga menyebabkan
tsunami. Selepas kejadian itu, jika dilihat di Semenanjung kejadian
tanah jerlus telah berlaku seperti di Perlis, Lembah Kinta, Perak dan
beberapa kawasan di Kuala Lumpur. Manakala kesan kedua adalah gegaran
bawah tanah yang akan menyebabkan kesan kerosakan kepada struktur
bangunan.
Kemungkinan berlakunya gegaran kuat selepas
ini di Ranau juga agak sukar. Mengikut catatan kejadian ini berlaku 25
tahun sekali. Maknanya tenaga yang disimpan oleh Gunug Kinabalu akan
keluar setelah 25 tahun. Kemungkinan 25 tahun lagi baru akan berlaku
kejadian seumpama ini. Dalam masa terdekat kemungkinan tidak akan
berulang gempa seumpama ini, cuma gegaran susulan dalam skala kecil
mungkin berlaku. Namun gegaran susulan ini semakin lama akan makin
berkurangan. Namun penduduk sekitar kawasan Kudat dan Lahad Datu tetap
perlu berhati-hati, kemungkinan kejadian ini berlaku di kawasan tersebut
tetap ada.
Bagaimana pula Prof. melihat tentang persiapan atau persediaan kita terhadap kejadian gempa ini?
MUSTAFFA KAMAL: Pihak
berwajib perlulah membuat kajian terhadap tempat-tempat yang
berkemungkinan berlaku gempa bumi dan perlu pemantauan yang lebih kerap.
Hal ini merupakan perkara yang sangat penting agar amaran terawal dapat
dikeluarkan bagi memastikan keselamatan orang awam.
Persiapan seterusnya adalah mengenai struktur
bangunan kita. Difahamkan kebanyakan bangunan-bangunan yang dibina
tidak mengambil kira tentang kemungkinan gempa kecuali bangunan-bangunan
tinggi yang terkenal. Kod etika pembinaan bangunan baharu perlu diubah
terutama struktur bangunan yang akan dibina nanti. Kod ini perlu
dilakukan secara menyeluruh terutamanya di kawasan-kawasan yang berisiko
dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
Namun tidak perlu risau, gegaran kecil yang
di bawah 3.5 magnitud tidak akan merosakkan struktur bangunan. Hanya
gegaran sebesar 5.0 magnitud akan merosakkan bangunan. Kemungkinan ini
tidak akan berlaku di sini jadi rakyat kita tidak perlu bimbang dengan
kejadian ini.Bagi pasukan penyelamat (SAR), persediaannya juga sama
seperti bagi bencana-bencana alam yang lain. Yang penting adalah
pengetahuan orang ramai terhadap kejadian gempa bumi ini.Kempen
kesedaran tentang gempa bumi perlu dilakukan dan didedahkan kepada
rakyat kerana kita tidak pernah berhadapan dengan kejadian seperti ini.
Pengetahuan terhadap bagaimana untuk
menyelamatkan diri ketika berlakunya kejadian alam ini perlulah diberi
pendedahan yang terperinci kepada masyarakat. Bagi saya pendedahan
seperti inilah yang akan menjamin keselamatan mereka. Menyentuh tentang
tenaga pakar dalam bidang ini, kita ada pakar-pakar namun belum
mencukupi apatah lagi kejadian gempa yang telah berlaku tidaklah sekuat
negara-negara lain yang sering terkena gempa bumi. Namun selepas ini
mungkin kita perlu ada pakar dalam kejadian gempa agar satu amaran awal
serta tindakan susulan terhadap kejadian ini dapat dilakukan.
Apakah kejadian gempa ini mempunyai kaitan dengan gelombang seismos?
MUSTAFFA KAMAL: Gegaran yang
dirasai seseorang ketika berlakunya gempa bumi disebabkan oleh
gelombang seismos yang bergerak di dalam dan permukaan bumi. Gelombang
itu terhasil apabila berlaku geseran akibat pergerakan plat tektonik
pada satu masa-masa tertentu melibatkan dua keping tektonik yang mana di
bahagian tengahnya terdapat sempadan.
Bagi pergerakan plat, dalam setahun
pergerakannya amat minimum iaitu sekitar 75 milimeter. Proses ini
mengambil masa puluhan tahun untuk mengumpulkan tenaga sebelum ia
dibebaskan dalam bentuk gelombang. Pergerakan ini akan menghasilkan
tenaga yang lama-kelamaan terkumpul dan pada satu tahap, ia akan
dibebaskan sebagai haba atau gelombang yang dikenali sebagai gelombang
seismos.
Secara hipotesis, pembebasan tenaga akan
menyebabkan gempa bumi. Semakin lama masa terkumpul semakin banyak
tenaga yang disimpan. Jika banyak tenaga terkumpul maka keberangkalian
gempa bumi yang berlaku juga lebih besar. Fenomena yang sama juga turut
berlaku apabila bongkah-bongkah batuan bergerak ke arah bertentangan.
Sempadan antara bongkah tersebut biasanya dikenali sebagai sesar dan
gempa bumi juga wujud apabila berlaku antara bongkah-bongkah batuan
tersebut.
Gelombang seismos yang wujud semasa gempa
bumi berlaku sebenarnya dibahagikan kepada tiga gelombang iaitu
Gelombang P (Primer), Gelombang S (Sekunder) dan Gelombang Permukaan.
Gelombang P dan S biasanya wujud di kawasan 50 kilometer dari permukaan
bumi manakala Gelombang Permukaan pula terdapat di sekitar kawasan
permukaan bumi sehingga kedalaman sejauh 20 kilometer.
Kesan daripada pengaliran Gelombang P dapat
dilihat dengan pergerakan objek kecil seperti botol yang diletak di atas
meja. Gelombang S pula boleh menyebabkan pergerakan bangunan dan
gelombang ini sedikit kuat jika dibandingkan dengan Gelombang P.
Manakala Gelombang Permukaan pula lebih besar dan ketara kesannya
seperti berlaku rekahan dan retakan pada permukaan bumi atau runtuhan
bangunan. Dalam kejadian gempa bumi, Gelombang P akan dirasakan dahulu,
kemudian barulah Gelombang S dan Gelombang Permukaan akan menyerang.
Semasa gempa bumi, Gelombang P hanya sebagai
amaran namun gegaran sebenar sudah dirasai. Gelombang S dan Gelombang
Permukaan yang hadir selepas Gelombang P akan memberi kesan kepada
struktur kejuruteraan tidak kira bangunan mahupun jalan raya kerana
amplitud kedua-dua gelombang susulan ini amat tinggi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/malaysia-dihimpit-lingkaran-api-pasifik-1.102707#sthash.9bHd2Pel.dpuf