KUALA LUMPUR, 10 November:

Malaysia berminat menggunakan pesawat tanpa pemandu, dron untuk perkhidmatan penghantaran, terutamanya bantuan kemanusiaan melalui udara kepada mangsa-mangsa di kawasan banjir di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, idea
itu tercetus, selepas perkhidmatan pos Switzerland, Swiss Post Solution, memberi taklimat kepadanya mengenai projek terbaru syarikat itu yang menggunakan dron bagi penghantaran pos.
“Projek ini boleh dilaksanakan di Malaysia pada masa akan datang, seperti penghantaran barangan ke pusat-pusat pemindahan banjir serta untuk tujuan penting lain,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Jailani dalam rangka lawatan enam hari ke Switzerland, sejak Sabtu lalu.
Beliau juga tertarik dengan usaha syarikat itu mengatasi pelbagai cabaran dalam pengumpulan data dan lokasi penduduk, walaupun bentuk muka bumi Switzerland bergunung-ganang.
Jailani berkata, dengan kerjasama pelbagai pihak, syarikat berkenaan mampu menyelaras maklumat yang dikumpul untuk merangka sistem laluan penerbangan perkhidmatan posnya.
Dron boleh mengangkut muatan seberat 1 kilogram bagi laluan lebih 10 kilometer.
Pada Julai lalu, Swiss Post Solution mula melakukan ujian penghantaran bungkusan menggunakan dron, menurut portal berita The Guardian.