Tindakan sekumpulan pemimpin veteran Umno yang tampil pada sidang
media di Putrajaya Isnin lalu dan membidas pentadbiran Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak, termasuk pengunaan Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi ‘menutup’ mulut ahli parti
daripada mengkritik kepimpinan parti mengundang rasa tidak senang
beberapa pemimpin akar umbi.
Bagi Ketua penerangan Umno bahagian
Seputeh, Mohd Shariff Badaruddin, tindakan yang diketuai oleh bekas
perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta lima pemimpin Umno serta
seorang pimpinan MCA hanyalah untuk memecah belahkan parti Melayu
terbesar itu.
“Saya lihat mereka semua itu sebagai “enam jahanam”
yang mahu pecah belahkan Umno. Saya tak setuju dengan apa yang mereka
buat ini,” kata Mohd Shariff kepada
Malaysiakini.
“Masa
ada jawatan dulu buat lain, bila dah tak ada jawatan buat lain pula.
Kalau nak jadi pembangkang yang menyokong tak apa. Saya tak nak ikut
sangat cakap dia orang itu,” katanya.
Malah, beliau menegaskan
anggota akar umbi bahagian itu tidak memandang serius apa yang
diperkatakan pemimpin veteran Umno berkenaan.
Menurutnya anggota akar umbi tetap setia dengan pentadbiran Najib yang juga adalah presiden parti.
“Di
peringkat (bahagian Seputeh) kami anggap ia tidak betul sahaja. Kami
masih setia dengan pemimpin yang ada hari ini,” kata Mohd Shariff.
Tun
Dr Mahathir Mohamad dan seteru politiknya Tengku Razaleigh Hamzah
mengambil langkah mengejutkan dengan membuat sidang media bersama bagi
menyatakan rasa tidak senang berhubung beberapa isu termasuk penangkapan
bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan
peguamnya Mathias Chang.
Khairuddin
ditahan selepas membuat laporan kepada pihak penguatkuasaan di negara
luar, termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat
berhubung isu 1MDB. Peguamnya Chang turut ditangkap baru-baru ini.
Lebih
mengejutkan, pada sidang media di Putrajaya itu, turut disertai oleh
bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Datuk
Seri Shafie Apdal.
Kedua-dua mereka digugurkan daripada kabinet kerana lantang mempersoalkan cara Najib menangani skandal 1MDB.
Selain
mereka, bekas menteri besar Kedah dan bekas menteri Tan Sri Sanusi
Junid dan bekas presiden MCA Tan Sri Ong Tee Keat juga hadir.
Akar umbi Umno kini meluat
Dalam
pada itu, Ketua Pemuda Umno bahagian Kepong Abdul Razak Abdul Rahman
berkata anggota akar umbi hari ini semakin meluat dengan kontroversi dan
masalah dalaman yang membelit perikatan itu.
“Saya sebagai orang
yang dekat dengan akar umbi rasa semakin hari semakin meluat dan pening
kepala,” kata Abdul Razak dengan nada kesal.
Menurutnya,
meskipun anggota akar umbi rata-ratanya masih menyokong kepimpinan
Najib, namun mereka tetap menggesa agar isu syarikat sarat hutang 1MDB
itu diselesaikan dengan kadar segera.
“Rata-rata masih menyokong
Datuk Seri Najib tapi dalam masa yang sama mereka mahu kerajaan
selesaikan segera isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.
“Sudah terlampau banyak kenyataan bercanggah daripada kepimpinan parti, agensi kerajaan dan sebagainya.
“Perkara ini (isu 1MDB) ini sudah semakin memeningkan untuk kita faham dan terima perkara ini,” katanya kepada
Malaysiakini.
Sementara
itu, Ketua Pemuda Umno bahagian Bandar Tun Razak Mohd Amir Abd Halim
ketika dihubungi berkata tindakan ketujuh-tujuh kepimpinan BN itu
hanyalah agenda politik mereka.
“Kita tetap bersama dengan perdana menteri.
“Ia
lebih kepada kenyataan yang kita tahu ada agenda politik yang mana
kesemua mereka yang terlibat ada agenda politik. Ia bukan satu pandangan
daripada professional atau pakar perundangan mahu pun peguam negara,”
katanya.