KUALA LUMPUR 11 Okt. - Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-243 (Khas) yang akan bersidang pada Jumaat ini, diadakan bagi memilih Yang di-Pertuan Agong baharu.
Sebelum mesyuarat khas itu dijalankan, terlebih dahulu diadakan Mesyuarat Pra-Majlis sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 hari ini diikuti mesyuarat rasmi pada esok dan Khamis.
Ketika ini jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang oleh Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkuat kuasa 13 Disember 2011 dan tempoh perkhidmatan Seri Paduka akan berakhir 12 Disember ini.
Berdasarkan sistem penggiliran yang telah ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Walau bagaimanapun jika Sultan Muhammad V menolak pemilihan tersebut, mengikutkan sistem penggiliran, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah akan dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Selain itu, terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja melalui undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong; tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental; merupakan raja yang berada di kedudukan teratas; mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima raja lain dan bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.
Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Sembilan raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.
Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaannya dalam negara atau kerana keuzuran.
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..