Bayar RM150 untuk sebutir kurma
Ada lebih 100 jenis makanan dan minuman serba lazat dihidangkan, semuanya untuk anda makan sepuas hati.
Seperti yang diiklankan setiap hari sejak awal puasa, hotel lima bintang
di Kuala Lumpur ini menawarkan resipi dari seluruh negara, juga
hidangan pilihan ala barat.
Ada nasi minyak, nasi kerabu, nasi dagang, nasi ambeng, nasi kandar.
Ayam kuzi, ayam percik, ayam goreng bercili, rendang tok, daging gulai
kawah, daging masak kicap, kari kambing, ikan tenggiri asam pedas, ikan
patin gulai tempoyak, sambal petai, sambal sotong. Itu hanya sebahagian
dari sekian banyakan masakan tempatan.
Untuk yang gemar hidangan orang putih, ada ‘T-bone steak’, ‘lamb chop’,
‘chicken chop’. Kalau hendak makanan Jepun, ada tempura, tepanyaki,
sushi.
Ada juga selera Arab seperti nasi mendi, kebab. Kalau suka makanan dari India, ada roti nan, ayam tandori.
Ada yong taufu, capati, roti jala, mi hailam, mi hokkien, soto, mi
bandung, rojak mamak, pecal Jawa. Ada tapai pulut, pengat keledek, bubur
kacang, bubur pulut hitam, kek, puding. Ada cendol, ais kacang,
aiskrim. Ada rambutan, nangka, belimbing madu. Dan, tentu sekali ada
kurma Nabi.
Panjang lagi senarai juadah yang dihidangkan. Itu belum masuk beraneka
minuman panas – teh tarik wajib – dan minuman sejuk – sirap bandung
mesti – juga jus buah-buahan.
Pendek kata kalau hendak disebut semuanya, tidak cukup ruang yang terhad ini.
Dengan bayaran hanya RM129 (hanya?) seorang, kanak-kanak separuh harga,
semua yang dihidangkan di coffee house hotel berkenaan boleh anda
santap, boleh tambah berapa kali yang anda suka.
Had masa: bermula masuk waktu berbuka hingga 10.30 malam.
Tidak sahaja di hotel berkenaan, pakej berbuka puasa juga ditawarkan di hotel dan restoran-restoran eksklusif di Kuala Lumpur.
Sana-sini ada ‘Ramadan Buffet’. Seperti yang diiklankan dalam surat
khabar, harga paling rendah ialah RM49 seorang; paling tinggi RM150.
Menarik juga di Shah Alam, satu kawasan lapang telah diubah menjadi
tempat eksklusif sepanjang Ramadan. Kanopi berhawa dingin lengkap dengan
kerusi dan meja makan berkelas bintang.
Apa yang ditawarkan seperti dalam iklan ialah ‘222 Juadah Untuk
Dinikmati’ pada harga RM80 seorang. Bawa sepuluh orang dapat percuma
seorang, macam iklan pakej pelancongan!
Itulah alkisah orang berduit-duit berjamu di bulan al-Mubarak.
Menghairankan, dengan pakej yang begitu mahal, masih berebut-rebut orang
berbuka puasa di tempat seperti itu.
Syarikat korporat membuat tempahan untuk para pelanggan dan rakan niaga.
Individu bawa orang tersayang untuk menyatakan cinta. Bagi sesetengah
orang lokasi berbuka pun boleh menjadi simbol status.
Saya bukan jutawan. Tetapi rasanya kalau satu hari nanti rezeki
melimpah, poket sudah buncit dan saya termasuk golongan berwang, masih
tidak akan saya berbelanja RM100 untuk berbuka puasa di hotel
berbintang-bintang.
Malah, RM50 pun tidak sekali-kali.
Maaf cakap, ini bukan soal kedekut, tetapi soal perut. Saya tidak fikir
tangki saya yang kecil boleh menerima juadah yang begitu banyak.
Walaupun tidak makan sepanjang hari, tentu tidak terlarat untuk kita
melantak hidangan sebanyak itu ketika berbuka. Usahkan 222 juadah, kalau
dapat menjamah 22 pun sudah kira hebat.
Dalam kes saya sudahlah tangki kecil, banyak pula yang tidak boleh
dijamah sebab tubuh dilanda masalah gula dan kolesterol. Kambing
panggang tidak boleh, rendang tok tidak boleh. Nasi minyak, gulai kawah,
tapai pulut, sirap bandung, laici, tart, semua tidak boleh.
Pendek kata jangankan 222 juadah, 22 pun saya tidak larat. Kalau boleh
pun hanya 2 iaitu kurma dan air suam. Maka rasa membazir sangat jika
saya bayar RM100 untuk berbuka di hotel besar, tetapi hanya boleh makan
kurma dan minum air suam.
Tetapi orang berduit tidak lihat pembaziran. Mereka sanggup bayar mahal
hanya untuk makan kambing panggang dan seketul dua rendang tok.
RM150 hanya untuk makan sepinggan nasi minyak dan secucuk dua sate. Pada
hal ada sekian ramai orang biasa hanya mampu makan nasi bungkus RM5.
Demikianlah...
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..