*MINYAK naik 20 sen seliter. Kerajaan kata ini tidak akan membebankan
rakyat. “Ia tidak memberi kesan drastik kepada kos perniagaan, hanya
sekitar 0.1 hingga 1.3 peratus sahaja,” kata Datuk Hasan Malek, Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Pengusaha pengangkutan pula kata, kenaikan tersebut membebankan. Mereka
menjangka akan menaikkan kos pengangkutan @ tambang antara 5 hingga 30
peratus. Akhirnya rakyat biasa yang akan membayar lebih.
Hasan kata, peniaga tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang dan
perkhidmatan melebihi 1.3 peratus. Tetapi sejarah membuktikan walaupun
minyak naik satu peratus, barang naik lebih 10 peratus.
Contoh paling mudah ialah nasi lemak yang menjadi makanan kesukaan ramai
rakyat. Kalau sebelum ini harga sebungkus RM1, ia boleh dinaikkan tidak
lebih 1.3 peratus @ lebih kurang RM1.02 sen.
Tetapi, penjual nasi lemak akan naikkan paling tidak pun 5 sen
sebungkus, sebab sekarang mana ada orang pakai duit sesen-sesen. Malah,
tidak menghairankan kalau ada yang naikkan harga nasi lemak 10 sen,
mungkin juga 20 sen.
Lagi pun nasi lemak, juga makanan popular lain – roti canai, tose, yong
taufu, karipap, apam balik – bukan barang kawalan. Peniaga boleh naikkan
harga atas alasan minyak naik. Hatta goreng pisang, goreng cempedak,
goreng keledek pun akan naik harga walaupun makanan itu digoreng
menggunakan minyak masak, bukan pakai minyak RON95.
Menteri kata, pihaknya akan melakukan penguatkuasaan secara menyeluruh
di kawasan-kawasan tertentu yang terdapat laporan kenaikan harga barang,
“dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mereka,
termasuk mengikut Akta Kawalan Harga dan Akta Pencatutan 2011.”
Selalu sangat kita mendengar ayat klise seperti ini. Akan bertindak
tegas, ada akta itu, akta ini. Tetapi apabila barang betul-betul naik,
dan orang ramai mengeluh lagi gelisah, tidak ada pun tindakan ke atas
peniaga.
Malah jangan terkejut sekiranya nanti ada menteri yang berkata: “Jika
nasi lemak dan roti canai naik harga, boikot! Ganti makanan lain!”
Kata-kata ini pun selalu kita dengar.
*SETAHUN setelah diberikan publisiti meluas kerana kontroversi, Tanda
Putera akhirnya ditayangkan di pawagam seluruh negara. Walaupun dengan
panas publisiti meletup siang malam, sambutan terhadap filem tersebut
dingin.
Pada minggu pertama diputarkan di bawah peraturan ‘wajib tayang’ Finas,
filem arahan Datin Paduka Suhaimi Baba hanya mengutip RM500,000, jauh
lagi untuk mendapatkan balik kos pembikinan RM4.8 juta.
Ini bukan kes indah khabar dari rupa. Ini ada kaitan dengan tahap
pemikiran @ mentaliti penonton kita. Tidak kira berapa tinggi belanja
dan betapa hebat kualiti, filem sejarah yang penuh pengetahuan seperti
itu tidak diminati oleh majoriti audiens kita. Filem KL Zombie yang
ditayangkan pada tempoh sama mengaut lebih RM3 juta.
Suhaimi memang tahu perkara ini. Sebelum ini beliau pernah mengarah
filem sejarah berjudul 1957: Hati Malaya. Dengan belanja RM3.6 juta,
filem tersebut hanya dapat RM760,000, modal pun kantoi. Sebaliknya filem
beliau Pontianak Harum Sundal Malam dan Layar Lara, mendapat sambutan
hangat.
Kesimpulannya kalau hendak untung besar jangan buat filem sejarah, jangan buat filem dengan isi keilmuan.
Orang kita lebih tertarik dengan filem hantu dan misteri – mesti ada
kubur berasap, penunggu pohon beringin, manusia beranak ular, jin, saka,
toyol. Atau buat filem yang penuh dengan lawak-lawak *****. Pasti
meletup dan dapat juta-juta. Itulah mentaliti penonton kita!
*AKHIR kalam, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri
Zaman Khan Rahim Khan berkata, seorang bekas banduan yang pernah
menjadi ketua kongsi gelap, kini menjadi pemimpin sebuah parti politik
di Pulau Pinang.
Menteri Dalamu Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula
mengesahkan, pihaknya sudah mengenal pasti individu yang mempunyai
kaitan dengan kongsi gelap dan dikatakan turut bergiat dalam politik.
Pendek kata kongsi gelap @ samseng, sudah meresap di mana-mana sahaja.
Mereka sudah berada dalam sistem kita. Perlu ada keazaman yang kuat dan
iltizam yang tinggi untuk menentang mereka!
sumber:http://www.sinarharian.com.my/goreng...ron95-1.199818
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..