GEORGETOWN: Seorang maut tertimbus manakala empat lagi mangsa dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dalam pembinaan, di Batu Maung, di sini, malam tadi.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd Shouki Hamzah berkata, pihaknya menggunakan `Search Camera' untuk melihat keadaan bawah runtuhan berkenaan.
"Rakaman menerusi kamera berkenaan mendapati seorang mangsa terbunuh dalam kereta. Mangsa dikesan duduk di tempat pemandu yang ranap bawah runtuhan itu," katanya di tempat kajadian.
Empat mangsa lagi dikhuatiri terperangkap berdasarkan kereta dan tiga motosikal yang berada di bawah runtuhan berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar dalam sidang akhbar kira-kira jam 11.30 malam tadi di tempat kejadian hanya mengesahkan tiga cedera.
Menurutnya, mereka yang mengalami kecederaan itu adalah dua pekerja kontrak dan juga seorang wanita.
"Dua pekerja terbabit sedang melakukan kerja manakala wanita berkenaan pula sedang memandu kereta. Wanita berkenaan hanya mengalami kecederaan di tangan akibat terkena serpihan konkrit," katanya.
Menurutnya, kerja- kerja pembersihan dijangka memakan masa berikutan pihak penyelamat masih menunggu kren untuk mengalihkan serpihan konkrit yang agak besar.
"Maklumat awal mendapati sebuah kereta terkandas dalam timbunan konkrit itu. Jalan menghala ke Batu Maung akan ditutup sehingga kerja pembersihan lengkap sepenuhnya," katanya.
Menurutnya, kira-kira 300 anggota polis akan ditempatkan di lokasi kejadian bagi memastikan segala kerja pembersihan dan lalu-lintas berjalan lancar.
Sementara itu, saksi, Ahmad Mohd Saad, 39 berkata, dia mendengar bunyi rekahan kira-kira lima minit sebelum memberitahu lapan pekerja yang ketika itu berada di atas penyambung jambatan yang sedang melakukan kerja konkrit.
“Tidak lama selepas itu, saya dan juga rakan melihat besi perancah penghadang konkrit bengkok sebelum kami terus melarikan diri meninggalkan lori,” kata pemandu lori konkrit itu.
Menurutnya, dia bersama seorang lagi rakan menghantar bancuhan konkrit menggunakan lori berhampiran lokasi kejadian.
“Sejurus melihat besi penghadang konkrit bergoyang kami terus melarikan diri dan menjerit memaklumkan lapan pekerja yang melakukan kerja konkrit di atas sambungan jambatan terbabit.
“Enam daripada mereka sempat lari menyelamatkan diri, manakala dua yang lain terjatuh bersama sisa runtuhan konkrit terbabit,” katanya.
Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan runtuhan struktur penyambung jambatan sepanjang 50 meter dan seberat 200 tan itu menyebabkan gegaran kuat bagaikan gempa bumi.
“Mendengar bunyi kuat itu, semua rakan kerja di tempat bancuhan konkrit kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian bergegas ke tempat runtuhan.
“Mereka menarik keluar dua pekerja yang tertimbus dalam sisa runtuhan konkrit terbabit dan saya sempat melihat kedua-duanya dalam keadaan parah dengan darah meleleh keluar melalui telinga dan hidung,” katanya.
Menurutnya, dia turut ternampak dua kereta orang awam yang menggunakan laluan di bawah binaan sambungan jambatan itu dihempap sisa runtuhan konkrit.
“Hingga sekarang saya masih terbayangkan kejadian yang berlaku di depan mata itu dan bersyukur kerana sempat melarikan diri,” katanya.
sumber:
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..