Golongan kaya terkesan GST
PELAKSANAAN cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diumumkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet
2014, pada 25 Oktober lalu, mengundang reaksi pelbagai pihak.
Berikutan pengumuman itu, orang ramai tertanya-tanya mengenai sistem
percukaian baharu itu di negara ini, malah ada yang menganggapnya
sebagai satu bentuk cukai tambahan yang dikenakan.
GST akan dilaksanakan 1 April 2015, menggantikan cukai jualan dan
perkhidmatan (SST) yang diamalkan pada masa ini. Bagi menjelaskan
perkara itu, Wartawan Sinar Harian, NURULFATIHA MUAH mendapatkan maklum
balas Pengarah Projek GST, Pejabat Pelaksanaan GST, Kementerian
Kewangan, EZLEEZAN OTHMAN bagi menjelaskan konsep dan pelaksanaan GST.
Boleh jelaskan tentang GST?
EZLEEZAN: GST ialah satu bentuk cukai berasaskan kepenggunaan, bermakna
GST akan dibayar apabila kita berbelanja. GST ini adalah cukai tak
langsung dan ada pihak yang kutip bagi pihak kerajaan.
Kita tak bayar terus kepada kerajaan, sebaliknya kita bayar kepada
perantara. Bagi pihak pengguna, peniaga yang akan kutip daripada mereka
dan serahkan kepada kerajaan. Cukai itu bukan merupakan satu kos kepada
perantara kerana mereka boleh menuntut kembali GST yang telah dikenakan
ke atas input perniagaan mereka.
Kenapa kerajaan laksanakan GST?
EZLEEZAN: Sebenarnya, hasrat utama kerajaan untuk mengatasi kelemahan
SST. Orang ramai salah sangka dengan menyatakan kerajaan laksanakan GST
untuk menambah hasil kerajaan atau hendak ‘address’ isu fiskal sebab
fiskal kita sekarang negatif. Semua itu tidak benar.
Dalam sistem SST, kita sudah tidak boleh berbuat apa-apa dengan cukai
jualan, melainkan memperbaikinya dengan cara memansuhkan SST.
Jadi kita gantikan SST dengan GST. Apabila GST dilaksanakan, akan ada
pertambahan hasil akibat pembelian produk kerana GST dikenakan kepada
semua jenis barang dan perkhidmatan. Namun ada barang dan perkhidmatan
tertentu yang dikecualikan GST.
Kenapa GST dilaksanakan pada 1 April 2015?
EZLEEZAN: Kami menjangkakan keadaan ekonomi negara ketika itu lebih
baik dengan Indeks Harga Pengguna (CPI) pada kadar dua peratus. Ia
sesuai dilaksanakan ketika itu.
Sebenarnya, di Malaysia, susah mencari masa sesuai kerana ada pelbagai
musim perayaan dalam setahun seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru
Cina dan Deepavali. Kemudian, dalam tempoh lima tahun pula, kita ada
pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK).
Namun, pada 2015, berdasarkan jangkaan kami dan CPI pada masa ini, ia adalah waktu yang sesuai melaksanakan GST.
Kita juga hendak beri masa kepada peniaga untuk bersedia, ubah sistem
perniagaan atau ‘set up’ sistem komputer. Sebab itu tempoh 17 bulan
diberikan. Satu lagi, kita hendak beri latihan kepada pegawai sebab ada
juga pegawai mereka yang jaga bahagian akaun, tidak tahu mengenai GST.
Kerajaan juga perlu bersedia dari segi komputer dan sebagainya. Begitu juga dengan persediaan penggunaan supaya tidak terkejut.
Sebenarnya, untuk isu percukaian, inilah kali pertama kerajaan turun
padang dan beritahu rakyat apa yang dimaksudkan dengan cukai, GST,
kepentingan cukai, kenapa ia perlu dibayar dan faedah kepada rakyat
apabila mereka bayar cukai. Sebelum ini, kita terus buat dan tak pernah
ada sesi konsultasi.
Bagaimana konsep dan pelaksanaan GST nanti?
EZLEEZAN: Konsep GST dikenakan setiap peringkat iaitu dari pengilang,
pemborong, peniaga dan pengguna. Pada setiap peringkat itu, peniaga
boleh menuntut balik GST daripada kerajaan sebab GST merupakan cukai ke
atas penggunaan.
Peniaga tidak guna barang itu. Sebagai contoh, mereka beli kerusi dan
meja menjadi sebahagian daripada input perniagaan mereka. Jadi, apa jua
GST yang dibayar ke atas meja ini, kita benarkan mereka tuntut balik.
Cara tuntutan itu dikira berdasarkan ‘offset’ (penolakan) antara cukai
yang dikutip daripada pelanggan dengan cukai yang dibayar perantara
(pengilang, pemborong dan peniaga).
Sekiranya ada lebihan, perantara tidak boleh tuntut, tetapi mereka kena bayar kepada kerajaan, begitu juga sebaliknya.
Contohnya, jumlah cukai yang dikutip daripada pelanggan ialah RM1,000,
manakala cukai yang peniaga bayar ialah RM500. Ini bermakna ada lebihan
RM500 dan mereka perlu bayar jumlah ini kepada kerajaan. Sekiranya
‘offset’ itu didapati negatif, kerajaan yang bayar balik kepada mereka.
Pengguna hanya perlu bayar apa sahaja GST yang dikenakan peniaga dan
tidak boleh tuntut daripada kerajaan. Konsep ini sama seperti di Eropah,
tetapi ia dipanggil ‘Value Added Tax’ (VAT).
Hanya perniagaan yang mempunyai jualan tahunan (threshold) RM500,000
setahun dikenakan GST. Perniagaan itu mesti berdaftar dengan Jabatan
Kastam. Mereka tidak boleh lari. Contohnya, kedai mamak yang jual nasi
kandar, jika jualan tahunannya RM500,000, baru boleh kenakan GST enam
peratus kepada pelanggannya.
Apakah kebaikan GST kepada kerajaan dan rakyat?
EZLEEZAN: Kerajaan akan dapat satu sistem percukaian lebih adil dan
telus, karenah birokrasi juga berkurangan, selain mengurangkan
kebergantungan kepada cukai pendapatan dan petroleum.
Apa akan jadi kalau kita tak jumpa lagi sumber minyak? Jadi kita tidak
boleh selama-lamanya bergantung kepada petroleum. Untuk pengguna pula,
mereka akan dapat harga yang kompetitif.
Boleh jelaskan perbezaan antara GST dan sistem jualan dan perkhidmatan (SST) yang digunapakai sekarang?
EZLEEZAN: GST akan dikenakan di setiap peringkat, manakala SST hanya
melibatkan kutipan cukai di satu peringkat sahaja, iaitu pengilang.
Kalau cukai perkhidmatan pula melibatkan pembekal kepada pengguna.
Contohnya, perkhidmatan Astro kepada kita. Apabila Astro kenakan caj
enam peratus, hanya satu peringkat saja dalam sistem GST dan dia tidak
boleh tuntut daripada kerajaan. Kalau dalam sistem SST, katakan saya
pemilik restoran mamak dan menggunakan Astro di kedai saya untuk
pelanggan.
Enam peratus yang kedai saya bayar akan dimasukkan ke dalam kos teh
tarik dan sebagainya sebab saya tak boleh tuntut daripada kerajaan.
Berbeza dengan GST, saya boleh tuntut balik enam peratus itu dan tiada
GST dikenakan ke atas teh tarik tersebut.
Kenapa kadar enam peratus dipilih?
EZLEEZAN: Sebelum ini ada khabar angin (bukan daripada kerajaan)
mengatakan kerajaan akan melaksanakan GST pada kadar empat peratus.
Namun, hasrat kerajaan sebenarnya hendak menggantikan SST kepada GST
untuk mendapatkan perolehan neutral.
Katakan, kerajaan dapat kutip SST sebanyak RM20 bilion, jadi di bawah
GST nanti juga, kita kena dapatkan sekurang-kurangnya jumlah yang sama,
iaitu RM20 bilion. Kalau dapat kurang, nanti kita tak cukup hasil.
Selain itu, terdapat banyak pakej bantuan di bawah GST seperti bantuan
tunai RM300 di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pengurangan cukai
pendapatan individu dan syarikat, pemberian geran latihan RM100 juta
kepada syarikat dan pakej bantuan komputer serta 'software' komputer.
Bagaimana sebaran maklumat mengenai pelaksanaan GST ini dijalankan kepada orang ramai?
EZLEEZAN: Secara tidak rasminya, kita sudah jalankan sebaran maklumat
sejak 2010, walaupun idea pelaksanaan GST pada 2005. Apabila ‘review’
itu dibentangkan pada 2009, tahun berikutnya, kita buat sebaran
maklumat.
Selepas Perdana Menteri buat pengumuman GST, kita buat sebaran lebih besar menerusi radio dan televisyen.
Pegawai Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam akan turun padang dan
buat program seperti mengadakan program kesedaran di kampung-kampung
mengikut tiga kumpulan sasar, iaitu pengguna, peniaga dan kerajaan.
Kita bekerjasama dengan NGO seperti Gabungan Persatuan-Persatuan
Pengguna Malaysia (Fomca), jabatan kerajaan, ahli Parlimen, Adun,
persatuan profesional dan agensi lain seperti Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memberikan
penerangan GST kepada pengguna dan peniaga. Untuk kakitangan kerajaan
pula, kita pergi ke jabatan-jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan
(PBT) dan badan berkanun, untuk beri penerangan.
Bagaimana mahu pastikan ketelusan GST ini kepada semua pihak yang terlibat?
EZLEEZAN: Di bawah GST, kita ada website, www.gst.customs.gov.my dan
kita boleh semak sama ada sesebuah syarikat itu berdaftar dengan GST
atau tidak. Dari sini, kita boleh tahu sama ada syarikat itu tipu atau
tidak.
Siapa yang akan mengambil tindakan jika ada kesalahan melibatkan GST?
EZLEEZAN: Jabatan Kastam yang akan ambil tindakan jika kesalahan
melibatkan GST kerana mereka agensi pelaksana. Namun, jika kesalahan itu
melibatkan harga atau pencatutan (profiteering), ia terletak di bawah
KPDNKK.
Bagaimana cara kutipan GST dilaksanakan?
EZLEEZAN: Kita tiada firma tertentu kutip cukai GST, sebaliknya ia
dilakukan Jabatan Kastam. Dalam kes ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri
(LHDN) tidak terlibat kerana mereka kutip cukai langsung termasuk cukai
pendapatan dan duti setem.
Manakala GST ialah cukai tak langsung yang dikutip oleh Jabatan Kastam.
Bagaimanapun, apabila GST dilaksanakan nanti, mereka akan bekerjasama
terlibat dalam audit dan sebagainya.
Pelaksanaan GST dikatakan akan menyebabkan kenaikan kadar inflasi dan harga barang. Sejauhmana tanggapan itu?
EZLEEZAN: Kita kena lihat penggunaan SST. Ia dikenakan pada skop yang
kecil. Kalau kita lihat, tidak banyak barang yang dikenakan cukai
jualan, manakala cukai perkhidmatan dikenakan kepada 25 kumpulan seperti
restoran, hotel, perkhidmatan profesional, kawasan parkir dan
perkhidmatan keselamatan.
Bagaimanapun, perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti berita, katering dan buat cermin mata tidak dikenakan cukai perkhidmatan.
Namun, di bawah GST, semua ini akan dikenakan cukai. Maknanya akan
berlaku sedikit kenaikan harga, tetapi sangat minimum dan secara
‘one-off’ sebab kita beri banyak barang-barang makanan asas dikecualikan
daripada GST. Tidak semua harga barang akan naik.
Di bawah SST, cukai yang dikenakan antara lima hingga 10 peratus dan ia
sudah termasuk dalam harga yang pengguna bayar untuk kebanyakan barang
seperti peralatan elektrik dan pakaian.
Apabila GST dikenakan pada kadar enam peratus, ini bermakna, akan ada
kenaikan harga sebanyak satu peratus, ada juga yang kekal sebagai status
quo dan selebihnya berlaku penurunan harga.
Sebagai contoh, harga kereta. Kita tidak tahu harganya akan turun atau
naik sebab turun naik harga ditentukan oleh peniaga, bukan disebabkan
cukai atau GST. Mungkin harga barang akan naik sebab ketika itu sebab
kos bahan mentah naik atau peniaga itu perlu menaikkan gaji pekerja.
Contohnya, harga kereta sekarang ada cukai jualan sebanyak 10 peratus.
Kalau GST yang menggantikan cukai itu dikenakan enam peratus, harga
kereta akan turun.
Adakah pelaksanaan GST akan membebankan rakyat?
EZLEEZAN: Tidak. Kami sudah jalankan kajian sejak 2005 melibatkan tiga
golongan iaitu mereka yang berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi.
GST dibuat dengan kadar sifar dan standard.
Untuk barang makanan asas dan keperluan perkhidmatan asas seperti bas
dan sebagainya, mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana yang
paling ramai menggunakannya.
Katakanlah orang bergaji RM1,000 sebulan, kira-kira 60 hingga 70
peratus daripada pendapatannya digunakan untuk makanan dan perkhidmatan
asas yang tidak dikenakan GST.
Golongan berpendapatan sederhana contohnya, mungkin akan membelanjakan
dalam 30 peratus sebulan untuk bayar GST seperti makan KFC dan
sebagainya.
Berbeza dengan golongan kaya, gaji mereka tidak digunakan untuk perkara
ini. Mereka banyak makan di luar, guna internet dan lebih kepada
hiburan. Ini bermakna, orang kaya lebih banyak menanggung GST berbanding
golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Sama ada ia membebankan pengguna atau tidak, ia sebenarnya dipengaruhi
trend pengguna itu sendiri sama ada berbelanja besar atau tidak. Kita
kena fahami keperluan dan kehendak.
Benarkan GST boleh menyelesaikan masalah ketirisan cukai?
EZLEEZAN: Di bawah SST, peniaga simpan pelbagai rekod berbeza. Untuk
cukai jualan dan perkhidmatan, masing-masing ada dua rekod berbeza.
Rekod mereka ini tak sama dengan apa yang ditunjukkan LHDN atau Jabatan
Kastam contohnya.
Apabila GST dilaksanakan, rekod syarikat itu akan jadi satu sahaja.
Jadi isu ketirisan hasil tidak akan ada sebab invois sangat diperlukan
untuk menuntut balik GST daripada kerajaan.
Satu lagi, GST dikenakan setiap peringkat. Jika ada berlaku
penyeludupan dan katakan barang itu datang dari luar negara dan terus
dibawa kepada peniaga, kerajaan masih lagi boleh kutip GST di peringkat
peniaga. Ini mengelak ketirisan hasil berlaku.
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..