PETALING JAYA: Beranak dalam kereta kerana tidak sempat sampai ke hospital, situasi yang mungkin pernah berlaku sebelum ini. Bagaimana dengan situasi yang sama melibatkan kereta sewa seperti Uber?
Seorang pemandu Uber terpaksa berdepan situasi genting apabila penumpangnya bersalin dalam kereta sebelum sempat sampai di hospital yang hanya 5km jauh.
Abdul Jamil Amil, yang baru saja memuat turun aplikasi Uber dalam telefon pintarnya langsung tidak menyangka akan menggunakan khidmat pengangkutan kereta sewa itu untuk menantunya yang sedang sarat mengandung.
“Menantu saya merungut sakit lebih awal daripada tarikh beranak yang sepatutnya iaitu 7 Disember. Kebetulan anak lelaki saya tidak ada ketika itu dan saya pula tidak boleh memandu kerana mengalami kecederaan,” katanya.
Jelas, dia hanya dapat bergantung kepada pengangkutan awam dan memilih untuk menggunakan aplikasi Uber yang dimuat turun 2 hari sebelumnya.
Jamil berbesar hati apabila pemandu Uber yang dihubungi, Roy Affendi Annuar menerima permintaan itu walaupun pada awal pagi, 3 Disember untuk perjalanan dari Bandar Enstek, Nilai ke Hospital Pantai di Kuala Lumpur.
“Perjalanan kami hanya tinggal 5km saja lagi dari hospital apabila Norhashima melahirkan anak dalam kereta. Saya dan Roy tidak dapat berbuat apa-apa. Kami terkejut mendengar bunyi tangisan bayi dalam kereta, ketika kami masih dalam perjalanan,” katanya.
Beliau akui terharu dengan kesabaran dan tanggungjawab Roy dalam memastikan mereka sampai ke hospital dengan selamat.
“Saya meminta maaf atas apa yang berlaku tetapi Roy begitu baik dan langsung tidak merungut atau kecoh dengan apa yang berlaku. Dia amat membantu,” katanya.
Kedua-dua ibu dan bayi sihat dan selamat selepas dibantu unit bantuan hospital sebaik saja mereka tiba di hospital.
Roy, dianggap “wira” oleh datuk yang gembira selepas semuanya berakhir dengan baik.
“Saya banyak dengar cerita orang bersalin dalam kereta, tetapi saya tidak pernah bayangkan ia berlaku dalam kereta saya sendiri. Ia momen yang luar biasa. Saya berpuas hati kerana dapat menyediakan bantuan yang diperlukan tepat pada masanya,” kata Roy.
Bagi Norhashima dan suami, Muhammad Syahir Abd Jamil, 27, mereka gembira menyambut kedatangan ahli keluarga baharu dan lega semuanya berakhir dengan baik.
“Nampaknya bayi perempuan kami ada rancangan lain. Dia mahu kedatangannya ke dunia ini menjadi tajuk utama untuk diceritakan kepadanya dan adik-beradiknya kelak. Kami amat berterima kasih kepada Roy atas bantuannya, ” kata Norhashima.
Bayi perempuan itu yang juga anak kedua pasangan berkenaan dinamakan Safiyya Auliya dan kini lebih dikenali sebagai “Bayi Uber” dalam kalangan ahli keluarga.
Uber Malaysia juga tidak ketinggalan melawat Safiyya di hospital.
Susulan insiden itu, Uber Malaysia memberikan Roy perkhidmatan pembersihan untuk keretanya selain menanggung bayaran penumpang dan caj perkhidmatan Roy.
Uber menyediakan kemudahan pembersihan sebagai sebahagian perkhidmatan tetapi mengehadkan kepada bayaran sehingga RM250.
“Jika penumpang mabuk dan termuntah dalam kereta, pemandu Uber boleh merakam gambar itu dan menghantarnya kepada Uber. Kami akan kenakan caj kepada penumpang tersebut,” kata jurucakap Uber ketika dihubungi FMT Ohsem.
kredit
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..