Zaudah menunjukkan lubang yang menjadi tempat Azmi (kiri) menyendiri sebelum ini.
POHON TANJONG - Seorang lelaki di Kampung Pohon Tanjong di sini, memilih tinggal dalam lubang sejak kematian ibunya, lapan tahun lalu.
Ibu saudaranya, Zaudah Awang Kecik, 64, berkata, anak saudaranya, Azmi Othman, 42, yang dipercayai mempunyai masalah mental, gemar menyendiri dan tinggal dalam lubang bawah rumah yang gelap.
Menurutnya, Azmi meletakkan tikar bagi memudahkannya memasuki lubang berkenaan selain mengelak daripada berasa sakit kerana lubang agak sempit.
“Alhamdulillah, selepas setahun makan ubat hospital, Azmi makin pulih dan tak lagi terperap dalam lubang ini.
“Kadang-kala saya risau juga kalau dia masuk semula ke lubang ini, tapi mujurlah penduduk kampung simpati, membaiki rumah dan akan menutup semula lubang itu,” katanya.
Zaudah berkata, bapa Azmi, Othman Che Ibrahim meninggal dunia akibat sakit tua tahun lalu, manakala ibunya, Zaharah Awang Kecik meninggal dunia pada tahun 2000 akibat sakit sama.
Zaudah berkata, sejak kematian ibunya, Azmi berubah sikap dan tidak bergaul dengan rakan lain.
Ketika itu katanya, Azmi mencari tempat untuk menyendiri dan menemui lubang di lantai rumah berkenaan yang masih dalam pembinaan.
Namun katanya, anak ketiga daripada lima beradik ini bertuah kerana adik-beradik, saudara dan penduduk kampung begitu cakna dengan keperluannya.
Menurutnya, mereka bergilir membersihkan rumah tersebut agar Azmi dapat hidup dalam suasana bersih.
Katanya, mereka tidak mahu penyakit berkenaan kembali menyerang dan menyebabkan Azmi hidup menyendiri di tempat terpencil.
“Azmi tak ada sebarang bantuan bulanan, jadi dia terpaksa mengharapkan sumbangan masyarakat setempat.
“Saya harap pihak berkenaan sedia membantu dan meringankan beban Azmi di sini,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/...ubang-1.595965
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..