Antara menu yang disajikan di Kedai Masakan Kampung Ibrahim.
KOTA TINGGI - Sejak dibuka tujuh tahun lalu, Kedai Masakan Kampung Ibrahim di Simpang Telok Sengat dekat sini semakin popular dan menjadi pilihan penggemar makanan laut.
Ini terbukti apabila tibanya waktu tengah hari, kedai makan yang menyajikan belangkas sebagai menu utama itu sering penuh dengan pelanggan.
Pemiliknya, Ibrahim Baharum, 63, berkata, selain belangkas, pihaknya turut menyediakan menu masakan laut lain seperti asam pedas ikan sembilang, ketam, siput serta pelbagai lagi aneka masakan kampung.
“Di sini, kita dikenali dengan belangkas yang dimasak dengan pelbagai masakan antaranya masak sambal, masak cili padi dan juga asam pedas. Sejak kedai ini dibuka, menu tersebut mendapat sambutan menggalakkan.
“Terdapat kelainan dengan menjadikan belangkas sebagai menu utama di kedai makan kami. Selain mempunyai khasiat yang tersendiri, belangkas juga adalah hidupan laut yang unik dan lain daripada yang lain.
Ibrahim berkata, beliau bersyukur kerana rezeki yang diusahakan bersama keluarganya itu semakin mendapat sambutan ramai sehingga ada di antara pengunjung yang terpaksa menempah terlebih dahulu terutamanya untuk mendapatkan menu belangkas sebagai sajian tengah hari.
Katanya, setiap hari, kedai makannya dibuka seawal jam 6 pagi untuk sarapan pagi manakala seawal jam 10 pagi untuk makanan tengah hari.
“Kebiasaannya, belum sampai tengah hari, pelanggan sudah mahu makan masakan tengah hari. Oleh itu, kita sengaja menyediakan makanan tengah hari lebih awal.
“Kebanyakan pelanggan terdiri daripada guru, pekerja swasta serta penduduk sekitar daerah ini. Malah tidak kurang juga ada juga pelanggan yang datang dari Singapura semata-mata mahu merasai menu yang disediakan di sini.
Katanya, pihaknya sentiasa mengutamakan bahan yang segar di samping memastikan keenakan rasa masakan di kedai tersebut untuk kepuasan pelanggannya.
Katanya, kesemua bahan masakan yang digunakan seperti ikan dan juga belangkas adalah bahan yang segar diambil daripada nelayan di Tanjung Buai.
Ibrahim berkata, belangkas yang disajikan merupakan keunikan kedainya terutama generasi muda yang tidak pernah melihat dan mengenalinya.
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..