KUALA LUMPUR - Seramai 7,424 orang termasuk anggota polis memberus gigi secara serentak dalam masa 15 minit di Dataran Kawat Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini hari ini yang sekaligus memecah rekod Malaysia Book of Records sebagai penyertaan terbanyak.

Penyertaan seumpama itu sebelum ini didakan di Port Dickson, Negeri Sembilan tahun lalu yang dikatakan disertai 1,163 peserta.

Acara 'Ops Gigi: Memberus Gigi Mega 1Malaysia' itu dianjurkan oleh Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut disertai pelajar dari 22 buah sekolah, kakitangan Kementerian Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia serta penuntut Univerisiti Teknologi Mara.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) PDRM, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Komandan Pulapol, SAC Zulkifli Mohamad berkata program itu bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dalam penjagaan kesihatan gigi di kalangan masyarakat terutama pelajar sekolah.

Timbalan Pengarah Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan WPKL dan Putarajaya, Dr Misliah Ahmad pula berkata program itu dapat memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan gigi secara berterusan. - Bernama

~sinarharian.com.my~