Pengemis kaya bukan dongeng, Pendapatan melibihi gaji Senior Eksekutif dengan purata RM200 sehari
KITA biasa dengar atau baca cerita pengemis yang kaya, menginap di
hotel atau dijemput dengan kereta selepas minta sedekah di kaki lima.
Namun satu kisah benar yang dibongkar di sebuah rumah kebajikan di Marang, Terengganu, seharusnya membuka mata semua pihak.
Seorang penghuni rumah kebajikan itu (nama dirahsiakan) yang sering
curi keluar untuk mengemis, didapati menyimpan wang tunai lebih kurang
RM15,000 di bawah katilnya selain mempunyai tiga akaun bank berasingan
dengan nilai simpanan RM60,000.
Ini semua ditemui selepas dia meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.
Jadi, cerita pengemis kaya di negara kita bukan hanya kisah dongeng
atau cerita mulut ke mulut, sebaliknya suatu realiti yang menuntut kita
bersama-sama berfikir, bagaimana ini boleh terjadi?
Bukan kita mahu menghalang orang daripada membuat kebajikan, namun manipulasi dalam kegiatan mengemis ini bukan cerita baru.
Dengan adanya pengemis yang kaya, kita tidak mahu negara bertuah ini dianggap sebagai negara yang kaya dengan pengemis.
Lihat sahaja di mana-mana, pengemis sekarang bukan sahaja berwajah tempatan, malah ada juga yang 'diimport'.
Ini terjadi kerana dalam keadaan kita dihadap dengan pelbagai cerita
hal pengemis, masih ramai mahu berbaik sangka dengan alasan "saya ikhlas
mahu buat kebajikan. Soal mereka menipu, itu antara mereka dengan
ALLAH."
Ya, memang benar namun sama ada kita sedar atau tidak, sikap mudah
percaya dan tidak usul periksa juga menggalakkan lagi bilangan pengemis
yang sekali gus menimbulkan banyak masalah dalam masyarakat kita.
Kita bukan tidak pernah dengar mengenai sindiket yang mengaut kekayaan
dengan cara mudah memperalatkan golongan kurang upaya untuk meminta
sedekah bagi pihak mereka.
Apabila kita memberi sumbangan kepada golongan ini, kita bukan membantu
mereka tetapi menggalakkan lagi penganiayaan terhadap golongan ini
kerana hasilnya bukan kepada mereka tetapi kepada pihak sindiket. Ada
laporan bahawa sindiket yang tidak berperikemanusiaan ini malah tergamak
mencederakan atau merosakkan anggota tubuh pengemis yang diperalatkan
bagi memudahkan lagi mereka mendapat simpati.
Itu belum termasuk kumpulan memperalatkan kanak-kanak, berselindung di
sebalik penjualan produk, si celik yang kononnya membantu si buta
menjual tisu atau penanda buku, walhal tujuannya tidak lain tidak bukan
adalah untuk berkongsi hasil.
Tidak kurang juga kehadiran pengemis dalam masyarakat kita ada yang berakhir dengan jenayah seperti ragut atau samun.
Soalnya, kita bukan mahu menghalang orang membuat kebajikan atau membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
Namun hakikatnya di negara kita, untuk golongan kurang bernasib baik
ini, mereka dilindungi dengan sebaik mungkin oleh kerajaan di bawah
undang-undang yang khusus untuk melindungi hak dan kepentingan mereka,
Akta Orang Papa 1997 (Akta 183).
Selain itu, terdapat agensi yang khusus untuk membantu mereka seperti
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan bukan sahaja
perlindungan malahan kursus kemahiran bagi membantu golongan kurang
upaya menjana pendapatan sendiri, rumah perlindungan bagi warga emas
untuk mengelak mereka jadi kutu rayau dan sebagainya.
Di negeri-negeri, peruntukan bawah bidang kuasa agensi pungutan zakat juga terbuka luas untuk golongan ini.
Kerana itu, berhadapan dengan golongan pengemis, tidak kira apa modus operandi, mereka harus dicurigai.
Jika tidak, memberi sumbangan kepada mereka yang kita anggap sebagai
sumbangan kebajikan, sebenarnya ia juga sumbangan untuk meningkatkan
lagi masalah sosial dalam masyarakat kita.
* Dapatkan laporan lanjut dalam Sinar Harian edisi Isnin hari ini
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..