Dirasuk jin, peserta cabar berlawan
AMPANG – Sesi kedua Seminar Pembinaan Ketahanan Dalaman anjuran
Pengasas Rawatan Komplimentari Yashfien, Datuk Engku Ansaruddin Agus
(Pak Engku) yang berlangsung di Kelab Darul Ehsan, semalam tergendala
selama lebih kurang sejam apabila tiga peserta dipercayai dirasuk jin.
Kejadian itu berlaku apabila seorang remaja lelaki tiba-tiba bangun dan
mencabar ahli panel untuk berlawan diikuti selang 10 minit kemudian
seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an dan seorang wanita warga
emas bangun turut memperkatakan hal sama.
Perkara aneh itu disaksikan lebih 100 peserta yang sedang mengikuti
tajuk kedua program ‘Apa Itu Sihir’ bersama Imam Masjid Putra Perdana
Puchong, Dr Abdullah Qurtubi.
Pak Engku ketika ditemui tidak terkejut dengan apa yang berlaku kerana perkara itu sudah diduganya sejak awal lagi.
“Perkara ini dilakukan oleh jin, jin sememangnya mahu menggagalkan
seminar ini, jadi dia akan gunakan apa cara sekalipun untuk membuat
tumpuan peserta dan ahli panel terganggu,” katanya yang sudah
mengendalikan tiga siri seminar sebelum ini.
Menurutnya, peristiwa yang berlaku semalam adalah kali pertama sepanjang penganjuran seminar itu.
“Saya memang sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan seperti
ini, ini semua kuasa ALLAH SWT, kita hanya berikhtiar untuk menyembuhkan
sahaja,” katanya.
Beliau berkata, kesemua peserta dibacakan ayat suci al-Quran sebelum masing-masing beransur pulih.
Mengulas lanjut mengenai seminar diadakan, beliau berkata, ia lebih
kepada aspek teknikal untuk menghalang sihir termasuk gangguan jin
melalui kekuatan yang ada pada diri setiap orang.
“Setiap orang mempunyai kelebihan cuma ramai yang tidak tahu gunakan,
jadi melalui seminar ini kita terangkan menerusi teori dan praktikal
bagaimana tenaga dalaman yang kita ada ini boleh digunakan untuk
mengelakkan diri daripada gangguan halus,” katanya.
~sumber~
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..