Lombang uranium terbiar disyaki sebagai punca fenomena `sleeping beauty'. Foto dari The Siberian Times
Sejenis penyakit ganjil yang gagal dikenal pasti puncanya telah melanda dua pekan kecil di Rusia dan Kazakhstan di mana pesakitnya akan tidur secara berpanjangan seperti dalam cerita Sleeping Beauty.
Menurut laporan The Siberian Times, penduduk yang dijangkiti penyakit tersebut akan tidur dengan nyenyak malahan ada yang tidur selama enam hari berturut-turut.
Keadaan lebih serius berlaku apabila seorang warga emas yang mungkin sedang tidur lena dilaporkan dianggap telah meninggal dunia dan dikebumikan secara hidup-hidup.
Beberapa saintis mensyaki fenomena tidur itu adalah berpunca dari lombang uranium yang terbiar, namun spekulasi mereka tidak dapat dikenal pasti sepenuhnya.
Wabak tidur tersebut dilaporkan berlaku di Krasnogorsk, Russia dan Kalachi, Kazakhstan di mana beberapa orang dewasa tiba-tiba tidur selama dua hingga enam hari manakala kanak-kanak pula berdepan masalah halusinasi yang serius, pening, kepenatan selain hilang ingatan.
Gelombang tidur dilaporkan pernah melanda pekan ini pada Mei tahun lalu dan Januari tahun ini dan ia merebak semula pada bulan ini.
Seorang pekerja wanita, Marina Felk, 50, memberitahu dirinya tiba-tiba hilang kesedaran ketika sedang memerah susu.
"Apabila terjaga, saya sudah berada di hospital dan rupa-rupanya telah tidur selama dua hari dua malam," katanya.
Pesakit yang berkongsi bilik dengannya turut memberitahu bahawa Marina menjerit "saya mahu memerah susu" ketika dalam keadaan tidak menyedarkan diri.
Seorang lelaki berumur 30 tahun juga dilaporkan tiba-tiba tertidur apabila mahu membuka dokumen yang disimpan dalam komputer.
"Keadaannya seperti suis dalam badan telah ditutup dan saya hanya sedar selepas 30 jam kemudian," katanya.
Perlombongan uranium pernah dijalankan Krasnogorsk, Russia dan Kalachi, Kazakhstan pada era Soviet Union tetapi lombong yang ada kini dibiarkan.
Ada saintis berpendapat bahawa uranium dalam lombong menjadi wab atau meresap ke dalam air bawah tanah lalu memasuki tubuh manusia.
Namun lebih 7,000 uji kaji yang dilakukan ke atas tanah, sumber air, udara serta darah, rambut dan kuku penduduk gagal menemui penjelasan yang muktamad.
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..