Afghanistan
Sahar Gul, gadis diseksa suami
Pembuka tahun 2012, dunia digemparkan dengan insiden seorang remaja
berusia 15 tahun, Sahar Gul, dipukul dan dikurung dalam tandas oleh
suami dan keluarga mertuanya selama lima bulan selepas enggan bekerja
sebagai pelacur.
Sewaktu diselamatkan sekumpulan aktivis di kediaman mertuanya di utara
Baghlan, Sahar ditemui dalam keadaan cedera parah di seluruh badan.
Menurut polis, selain dipukul, rambutnya direntap, kukunya dicabut dan
dikurung di dalam tandas di bawah tanah tanpa makanan dan minuman untuk
hidup.
"Suami dan keluarga mertuanya turut mencederakannya dengan puntung
rokok dan lidahnya dikerat dengan playar," kata jurucakap polis
Baghlan.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian pemimpin Afghanistan, Presiden
Hamid Karzai yang menggesa hukuman dikenakan ke atas di pelakunya.
Ketua hal ehwal wanita Baghlan, Rahima Zarifi berkata kepada Reuters,
Sahar yang berasal dari wilayah Badakhshan telah dikahwin dengan suspek
pertengah Mei 2011 dan telah dipaksa menjadi pelacur bagi mendapatkan
wang untuk keluarga mertuanya.
Sementara itu, polis kanan Baghlan, Mohammad Zia, mengesahkan ibu
mertua dan kakak ipar Sahar telah ditahan, tetapi membebaskan suami dan
bapa mertuanya.
Pakistan
Malala Yuosafzai, gadis ditembak Taliban
Gadis dan pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun, Malala Yousafzai
yang memperjuangkan pendidikan kepada golongan wanita ditembak oleh
Taliban sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah di Pakistan pada 9
Oktober lalu.
Serangan mengejut terhadap Malala yang juga aktivis paling dikehendaki
Taliban itu mendapat liputan penuh media dunia sekali gus mencetuskan
bantahan besar-besaran seluruh negara.
Beberapa pemimpin berpengaruh dunia termasuk Britain menghulurkan
bantuan ke atas Malala dengan memberikan rawatan membuang peluru di
kepalanya.
Kini, Malala yang juga simbol keberanian dan beribu-ribu pembaca yang
mengikuti kisahnya itu menandatangani petisyen meminta remaja itu
dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel.
Bercakap bagi pihak gadis itu, bapanya, Ziauddin Yousafzai berkata,
anaknya yang mesra dipanggil Malala mahu berterima kasih kepada semua
pihak yang mendoakan kesihatannya kerana membantu dia untuk terus kuat.
Kejadian tersebut menarik perhatian dunia dan Taliban menerusi laman
webnya berikrar akan melancarkan serangan lagi sekiranya Malala masih
hidup.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Yayasan Amanah NHS, Hospital
Universiti Birmingham, Yousafzai berkata, Malala mahu memberitahu kepada
semua bagaimana dirinya sangat bertuah kerana seluruh dunia mendoakan
penyembuhannya.
India
Pelajar perubatan mati dirogol kumpulan lelaki
Seorang pelajar perubatan sebuah kolej di India, yang cedera parah
selepas diperkosa beramai-ramai di New Delhi dan diterbangkan ke
Singapura untuk rawatan, meninggal dunia pada Sabtu lalu.
Wanita berusia 23 tahun itu, yang mana serangannya dalam sebuah bas
menimbulkan bantahan di seluruh India, meninggal dunia 4.45 pagi (waktu
tempatan) di Hospital Mount Elizabeth di mana beliau dimasukkan untuk
rawatan pada Khamis lalu.
Pelajar itu dipindahkan dari Hospital Safdarjung di tengah Delhi ke
Hospital Medanta di Gurgaon, berdekatan dengan lapangan terbang bandar
itu, sebelum diterbangkan ke Singapura.
Menurut sumber, sewaktu kejadian mangsa bersama teman lelaki yang
pulang dari menonton wayang dengan menaiki bas, diserang enam lelaki.
Suspek memukul mangsa dan teman lelakinya dengan batang besi dan
merogolnya secara bergilir-gilir.
Laporan perubatan mendedahkan, mangsa mengalami kecederaan teruk pada
bahagian dalaman badan dan suspek dipercayai menggunakan batang besi
sebagai alat memperkosa mangsa.
Selepas merogol mangsa selama sejam, dia dan teman lelakinya dicampak keluar.
Tahukah anda?
Sesetengah ahli sejarah percaya asal usul keganasan terhadap wanita
berkait rapat dengan tanggapan bahawa golongan itu sebagai aset dan
jantinanya yang memaksa mereka tunduk kepada kaum lelaki dan wanita
atasan lain.
Dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap
Penyingkiran Keganasan terhadap Wanita (1993), menyatakan bahawa
keganasan terhadap wanita adalah satu manifestasi perhubungan kuasa yang
dari segi sejarah tiada persamaan antara lelaki dan wanita di mana
membawa kepada dominasi serta diskriminasi oleh golongan lelaki yang
menyekat kemajuan wanita.
Keganasan terhadap wanita adalah satu daripada mekanisme sosial utama
yang memaksa mereka berada pada kedudukan bawah golongan lelaki.
Pada tahun 1980, sebuah mahkamah di Amerika Syarikat telah mengharamkan
hak si suami melaksanakan hukuman fizikal terhadap isterinya.
Sementara itu, adat menghukum isteri yang diamalkan masyarakat Britain
dengan penderaan sederhana agar si isteri rajin melakukan kerja telah
disekat pada tahun 1891.
~ sumber
p/s : sekarang nie di mana-mana pun bahaya baik lelaki atau perempuan