Kemudian beraksi di hadapan majikan ibarat pijak semut tidak mati. Tetapi apabila bos itu bercuti atau berkursus, dia menjadi sangat bengis dengan anak buah. Lebih teruk, kalau ada yang melekat dengan bos.
Inilah senario si kaki kipas atau pembodek di dalam pejabat. Golongan ini juga dikatakan sebagai ‘kipas sate’ dan ‘naik lif.’ Mungkin baik, kalau bos seperti belon kempis dipam dan anda cepat naik pangkat!
Tetapi usah memudaratkan orang lain. Sangat malang, sekiranya ada insan yang dianiaya itu jujur dan rajin. Cemerlang prestasinya. Cuma tewas di bibir si kaki kipas. Fikirlah, adakah berkat makan gaji dengan cara berlakon jadi baik?
Bicara Isnin minggu ini bercerita soal bodek dan memaparkan pengalaman tiga mangsa virus masyarakat itu.
Kisah Bodek 1
'Saya ditegur, pembodek dipuji'
“Sudah lebih dua tahun saya jadi guru di sebuah sekolah di Selangor. Sebagai guru muda, saya bersemangat dan mahu menjadi guru yang aktif serta bertenaga. Apatah lagi, saya dilantik sebagai guru kelas. Saya berusaha keras dan ramai pelajar menyenangi cara saya mengajar.
Namun impian saya musnah. Ada seorang rakan di sekolah itu yang tidak senang melihat usaha dan kemesraan pelajar dengan saya.
Tergamak dia bodek pengetua. Dia kata saya abaikan tanggungjawab sebagai guru kelas. Dia bodek pengetua dengan mengatakan saya ini hasut pelajar supaya jangan menyukai guru.
Dia bodek pengetua supaya tegur saya. Akibatnya saya dipanggil pengetua dan pentadbiran sekolah. Bayangkan, hal remeh seperti ini dibincangkan sedangkan pelajar rapat dengan saya sebagai guru kelas, kerana saya banyak selesaikan masalah mereka. Tetapi alih-alih, dalam mesyuarat guru, si pembodek itu yang dipuji kerana banyak bantu pelajar dan saya pula dinasihati supaya lebih berusaha.
Pembodek itu juga meminta pengetua tegur saya kononnya ambil masa rehat lama di kantin sedangkan saya hanya makan selepas tugasan selesai.
Saya dipanggil dan pengetua memberitahu beliau menerima aduan daripada si pembodek itu mengenai saya.
Berdasarkan kata-kata pengetua itu, saya sedar selama ini aduan mengenai saya itu datang daripadanya.
Akibatnya, pemarkahan bagi pencapaian prestasi saya sangat rendah. Saya seolah-olah guru muda yang tidak berguna sedangkan saya yang berpeluh, bak kata orang menyingsing lengan, turun padang membantu pelajar. Tetapi apakan daya, pengetua pilih kasih dan saya percaya beliau termakan hasutan si kaki kipas itu.”
– Abu Seman Hashim
Kisah Bodek 2
‘Aku tidak naik pangkat’
“Tiga tahun aku jadi jurutera di sebuah kilang yang besar dan ramai pekerja. Walau sudah lama bekerja, aku masih tidak naik pangkat. Tak apalah, mungkin belum rezeki aku.
Tapi seperti ada yang tak kena dengan dengan sistem perjawatan di kilang itu. Pekerja baru masuk atau jurutera baru, mudah sangat naik gred dan pangkat.
Apakah bos mengikut prinsip sebetulnya atau hanya menilai berdasarkan kemesraan dan keramahan seseorang pekerja?
Aku berani kata begini kerana ada jurutera yang naik memecut jadi pengurus walaupun pengalaman kurang dua tahun.
Namun, apa yang aku lihat, jurutera yang dinaikkan pangkat itu tidak tahu apa-apa mengenai tugasan. Apabila kena soal dalam mesyuarat, banyak soalan yang hanya dijawab dengan 'tidak tahu'.
Aku memang pelik. Adakah mereka ini diberi pangkat atas dasar pengalaman dan kebolehan atau kerana apa?
Aku memang tidak pandai mengampu bodek! Aku lihat ada juga kalangan orang jenis macam aku ni yang sukar untuk naik jawatan, tapi terpaksa bertukar angin ,mencari pekerjaan lain yang lebih terjamin.
Aku bekerja dengan jujur dan mampu melaksanakan tugasan dengan baik. Namun sayang, selepas tiga tahun aku tetap memikul jawatan yang sama.”
- Zulkifli Harun
Kisah Bodek 3
Digugurkan sebagai jurulatih
“Empat tahun berturut-turut saya jadi jurulatih. Selama itu pasukan bimbingan saya jadi juara dalam apa juga temasya. Ramai yang berebut hendak menjadi jurulatih pasukan yang saya terajui sejak 2009 itu.
Tetapi langit tidak selalu cerah. Harapan untuk terus melatih pasukan itu akhirnya musnah. Saya sungguh kecewa kerana semua ini berlaku akibat tohmahan si kaki kipas dan pengampu.
Orang itu membodek pihak pengurusan supaya menukarkan saya agar tidak terus melatih pasukan tersebut. Saya dikatakan garang, pemarah dan selalu menjerit di padang ketika sesi latihan.
Saya perlu cergas dan kuat supaya pasukan bersemangat. Saya tak pernah lihat jurulatih sukan yang berlemah lembut di padang! Buktinya, dengan tindakan tegas saya selama ini, pasukan itu tidak pernah tewas. Saya percaya hasil bimbingan selama ini, melahirkan dua ahli
sukan hebat.
Selama ini, saya bekerja keras untuk menjadi seorang jurulatih yang baik tetapi si pembodek itu memuji dirinya lebih baik daripada saya kepada pihak pengurusan. Maka saya digugurkan sebagai jurulatih dan digantikan dengan pembodek itu.
Saya tidak tahu apa lagi yang hendak dikata sama ada saya bersalah atau sebaliknya. Tetapi pasukan itu dalam satu temasya baru-baru ini, pasukan yang pernah saya bimbing itu tewas kepada lawan!”
– Sabariah Abu
~sumber~
mmg ramai kaki pembodek..bukan sahaja di pejabat..malah dimana2 pun ada....nak naik pangkat ekspres..walau tiada kelayakan..naik cepat..tengoklh turun pun cepat gak kalau dah tak betul caranya..
ReplyDelete