Siapa pemilik sebenar jet mewah?
KUALA LUMPUR 24 Sept. - Pendedahan beberapa blog tentang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menaiki jet eksekutif ke Labuan pada 15 September lalu, menyebabkan rakyat tertanya-tanya siapakah pemilik jet itu.
Blog http://www.mole.my melaporkan Anwar dan anaknya, Nurul Izzah serta Naib Presiden PKR, Tian Chua memberi jawapan yang berbeza apabila ditanya soalan itu menerusi akaun Twitter masing-masing.
Menurut blog berkenaan, Anwar menyatakan jet itu dipinjamkan oleh seorang peniaga di Kuala Lumpur manakala Tian Chua memberitahu pesawat tersebut disewa dan Nurul Izzah mengatakan ia dipinjam.
Blog http://stopthelies.my mendedahkan operasi jet eksekutif tersebut dipercayai dikendalikan oleh Bresnan International Aviation di White Plains, New York.
''Syarikat itu berkecimpung dalam bidang sewaan pesawat udara. Jet eksekutif tersebut merupakan satu-satunya pesawat udara yang dikendalikannya," ujarnya.
Jelas blog tersebut, hakmilik jet itu didaftarkan di bawah nama Wells Fargo Bank Northwest di Salt Lake City, Utah.
''Sama ada pesawat Dassault Falcon 900 dengan nombor pendaftaran N990BB dimiliki oleh rakan Anwar di Amerika Syarikat (AS) atau seorang individu yang sangat kaya membiayai kos sewaannya," kata blog berkenaan.
Blog itu turut menempelak pemimpin-pemimpin pembangkang yang menaiki jet mewah tersebut kerana mereka sering mengaburi mata rakyat dengan mendakwa kononnya tidak mempunyai banyak wang sehingga terpaksa mengutip derma pada ceramah-ceramah yang dianjurkan.
Sementara itu, blog http://www.rbfonline.net mempertikaikan kenyataan Tian Chua yang menjelaskan pesawat tersebut disewa sedangkan penulis bloghttp://msomelayu.blogspot.com, Mohd. Sayuti Omar dalam entri bertarikh 18 September lalu menyatakan jet itu dibekalkan oleh seseorang bagi memudahkan menghadiri beberapa majlis parti di Sabah dan Sarawak.
Blog berkenaan turut memaparkan kenyataan Mohd. Sayuti bahawa sudah tentu ada individu atau tokoh korporat yang menyediakan jet itu untuk Anwar.
''Mohd. Sayuti menulis perkara tersebut pada 18 September, kira-kira dua hari selepas Anwar menggunakan jet eksekutif tersebut dan ketika perkara itu belum menjadi isu dalam dunia siber.
''Setelah menjadi isu, Tian Chua mula memusingkan cerita dengan mengatakan pesawat itu disewa," ujar blog itu.
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..