Shila Amzah: 'Sekarang, keutamaan kerja saya di China'
KEBELAKANGAN ini nama penyanyi yang semakin ayu mengenakan hijab sejak
Ramadan lalu, Shila Amzah mekar meniti di bibir-bibir peminat hiburan
tanah air.
Hal ini berikutan kejayaannya yang berjaya merangkul tempat pertama
dalam pertandingan Shanghai Asian Wave yang diadakan pada 20 September
lalu.
Kejayaan Shila meraih kejuaraan itu membolehkannya memperoleh dana
bernilai lebih RM1 juta, merangkumi rakaman album, konsert dan promosi
albumnya di China.
“Buat masa ini, keutamaan kerja saya adalah di China kerana sekarang
saya berada di bawah pengurusan Shanghai Media Group di mana mereka
sudah merancang konsert jelajah saya di sana," katanya.
Tambah Shila, "selain itu, saya turut diundang untuk menjadi artis
pembukaan konsert penyanyi terkenal serta juri yang mengadili
pertandingan Shanghai Asian Wave, Erik Moo pada November ini."
Sementara itu, dalam usahanya untuk mencipta nama di bumi China, Shila
juga sudah mendaftar dan menghadiri kelas Mandarin untuk mengasah lagi
pertuturannya dalam bahasa itu.
“Saya kini sudah memasuki kelas bahasa Mandarin kerana kalau kita mahu
menambat hati peminat di sana, kita kena menguasai bahasa mereka dulu,”
katanya yang akan menyanyikan lagu Mandarin ciptaan penyanyi terkenal
Taiwan Wong Lee Hom dalam albumnya akan datang.
Selain itu, nama Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 22,
turut tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-19 dalam kategori
Persembahan Vokal Terbaik di dalam Lagu (Wanita) dan Lagu Pop Terbaik
menerusi lagu Patah Seribu.
“Mengenai pencalonan akhir AIM ini, saya berbesar hati dan bangga
apabila tercalon bersama-sama idola saya iaitu Datuk Siti Nurhaliza,
Jaclyn Victor dan Nora.
“Bagi saya sudah tercalon sebagai finalis pun, alhamdulilah, dan saya
tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk kedua-dua kategori yang
dicalonkan itu kerana seperti sedia maklum, calon-calon lain semuanya
merupakan penyanyi yang berpengalaman serta berbakat besar dalam
industri seni tanah air kita.
“Walau bagaimanapun, saya tidak dapat menghadirkan pada majlis itu
nanti kerana terikat dengan aktiviti seni sebagai penyanyi undangan pada
konsert penyanyi terkenal serta juri yang mengadili pertandingan
Shanghai Asian Wave, Erik Moo pada 17 November nanti,” katanya ketika
ditemui pada majlis Pengumuman Senarai Pendek Calon AIM19 yang diadakan
di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam.
Anugerah AIM19 akan berlangsung pada 17 November ini di Stadium Melawati, Shah Alam, jam 8.30 malam.
Sumber :http://www.fuzore.com
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..