Setiap hari seawal jam 8 pagi, Abang Joe sudah tercegat di jeti nelayan Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah. Beliau bersiap sedia untuk menjalankan tugasnya.
Abang Joe atau nama sebenarnya, Juhari Abu Bakar, 62, adalah tukang bisik yang menjadi perantara bagi nelayan untuk menjual hasil tangkapan laut kepada pelanggan.
Tugas Abang Joe nampak sangat mudah iaitu hanya perlu melayan bisikan pelanggan membida harga ikan atau hasil laut lain yang mahu dijual dan kemudian membuat keputusan siapakah berhak membelinya berdasarkan bidaan tertinggi.
Selain Abang Joe, terdapat kira-kira 20 tukang bisik menawarkan perkhidmatan di situ. Namun, kebanyakan mereka yang biasa berurusan di jeti berkenaan, mengakui Abang Joe adalah pakar dalam bab ‘bisik-bisik’ ini.
“Kalau orang lain mengambil masa lama untuk meyakinkan pelanggan, tapi dengan Abang Joe dalam masa lima minit, beres,” kata seorang pelanggan tetap di situ.
Ternyata pengalaman selama 20 tahun sebagai tukang bisik banyak membantu Abang Joe melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya.
Menceritakan pembabitannya dalam bidang itu, Abang Joe berkata, dia memilih kerjaya sebagai ‘tukang bisik’ kerana ia pekerjaan yang tidak perlu mengeluarkan modal atau berisiko. Sebaliknya ia hanya memerlukan sedikit pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi.
“Modal saya hanya mulut dan telinga. Tugas saya adalah mendengar bidaan yang dibuat pelanggan. Oleh itu telinga saya perlu tajam untuk mendengar setiap bidaan kerana ia hanya dibisik. Selepas mendengar semua bidaan, saya akan membuat keputusan siapa yang berhak membeli berdasarkan bidaan tertinggi.
“Memang nampak mudah tapi tetap perlukan kemahiran dan pengetahuan. Memandangkan pernah menjadi nelayan dan penjual ikan, jadi saya sudah masak dengan bidang ini.
“Ia memang membantu saya menjalankan tugas sebagai tukang bisik.
“Terdapat kira-kira 20 nelayan menggunakan khidmat saya. Tapi saya hanya hadkan tugas hingga jam 1.30 tengah hari walaupun aktiviti di sini berlangsung hingga 6 petang atau kadang-kadang hingga malam.
“Saya tidak menetapkan sebarang upah atas khidmat saya sebaliknya mereka memberi seikhlas hati dan menerima berapa saja yang diberi kerana itu rezeki. Alhamdulillah, dengan rezeki sebagai tukang bisik inilah saya membesarkan enam anak,” kata Abang Joe.
Walaupun Abang Joe enggan mendedahkan pendapatan sebenarnya, difahamkan seorang tukang bisik mampu memperoleh pendapatan RM100 sehari dan meningkat RM200 sehari pada hari puncak seperti hujung minggu atau cuti umum kerana kebanjiran pelanggan.
Sementara itu seorang lagi ‘tukang bisik’, Mohd Tarik Abd Hamid, 43, yang terbabit dengan kerja laut sejak berusia 18 tahun mengakui tugas berkenaan memberi sumber rezeki yang lumayan kepada anak muda di kampung itu.
“Saya boleh cakap pendapatan tukang bisik lebih baik daripada kerja makan gaji. Kalau setakat hendak membeli motosikal kapcai, mereka mampu membayar secara tunai.
“Sebab itu kebanyakan anak muda di kampung ini tidak berminat kerja kilang sekali pun tiada kelulusan akademik. Malah yang memiliki diploma dan sedang menunggu tawaran kerja juga melakukan tugasan ini sebagai pekerjaan sementara.
“Bagamanapun, ia bergantung juga kepada keadaan semasa, apabila musim tengkujuh nelayan tidak dapat ke laut, secara tidak langsung pendapatan kami turut terjejas,” kata Tarik yang turut menjadi peraih.
Namun, dia menegaskan tukang bisik bukanlah seperti ‘ulat’ yang mencari pelanggan di stesen bas atau orang tengah yang mengaut keuntungan atas angin sebaliknya sebagai perantara antara nelayan dengan pelanggan.
“Kami tidak diberi gaji atau komisen sebaliknya dibayar seikhlas hati atas perkhidmatan diberikan. Malah, mereka yang dilantik sebagai tukang bisik juga dalam kalangan ahli keluarga atau rakan rapat,” katanya.
Sebenarnya jika anda berkunjung ke jeti nelayan Kuala Muda, seolah-olah kita berada di pasar borong. Penulis berkunjung ke situ pada Jumaat yang juga cuti hujung minggu bagi negeri berkenaan menyebabkan pengunjungnya lebih ramai berbanding hari biasa.
Seawal jam 8 pagi, orang ramai sudah mula membanjiri kawasan pendaratan nelayan yang pulang membawa pelbagai hasil laut seperti ikan, udang, sotong dan ketam segar.
Setiap kali hasil laut dibawa naik dari bot nelayan yang berlabuh di pantai, pengunjung sudah bersedia untuk membidanya. Selalunya hasil laut itu akan dilonggokkan dalam kuantiti yang tidak menentu bergantung kepada hasil tangkapan dan dijual secara pukal kepada seorang pembeli saja.
Lebih menarik, ia tidak dijual secara timbangan malah tidak ada harga tetap diletakkan. Sebaliknya, aktiviti jual beli dilakukan secara bidaan antara pembeli dengan wakil nelayan iaitu tukang bisik.
Lebih unik ia dilakukan secara kaedah berbisik. Harga yang dibida hanya diketahui pembida dan si tukang bisik. Oleh kerana tidak ada harga ditetapkan, pembeli boleh meletakkan harga bidaan sesuka hati mereka tapi biarlah masuk akal.
Bagi yang sudah biasa dengan aktiviti berkenaan, mereka dapat mengagak harga bidaan yang perlu dilakukan bersesuaian dengan hasil laut hendak dijual. Tapi, mereka mungkin kalah bidaan itu dengan perbezaan harga hanya RM1 berbanding bidaan pembida lain.
Aktiviti bisik berbisik ini berlaku dengan pantas. Hanya selepas beberapa kali bidaan, hasil tangkapan dijual kepada pembida tertinggi. Tidak sampai 10 minit urusan jual beli selesai!
Bagi yang gagal dalam bidaan, mereka tidak mudah putus asa sebaliknya terus mencuba kerana aktiviti bisik berbisik ini akan berlangsung selagi hasil tangkapan masih ada. Ini kerana nelayan yang ke laut tidak pulang serentak sebaliknya secara berperingkat.
Tinjauan penulis dengan beberapa pelanggan di situ mengakui selain memperoleh hasil laut yang segar, harganya 40 hingga 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Komen Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kuala Muda
Menurut Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kuala Muda (PNKM) Abdul Halim Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Leh dalam kalangan nelayan dan penduduk setempat, kaedah menjual ikan secara berbisik ini sudah berlangsung sejak lebih 30 tahun lalu.
“Aktiviti bidaan ini bermula di Pulau Pinang tapi ketika itu ia dilakukan secara bidaan terbuka. Melalui cara ini nelayan akan meletakkan satu harga dan individu yang mahu membida mengangkat tangan dan membuat bidaan.
“Setiap pembida berlawan membuat bidaan hingga tidak ada lagi yang sanggup menandingi harga bidaan tertinggi. Kaedah ini selalunya mengambil masa yang panjang kerana pembida saling berlawan untuk menandingi antara satu dengan lain.
“Oleh itu apabila aktiviti ini diwujudkan di Kuala Muda pada 1987, semua nelayan bersetuju menggunakan kaedah berbisik,” katanya.
Pak Leh berkata, walaupun harga bidaan yang dibisik adalah rahsia tapi kebanyakan pembida sudah mahir dalam ‘permainan’ itu apabila harga ditawarkan tidak jauh beza antara satu sama lain.
Ini kerana kebanyakan yang datang membeli ikan dan hasil laut lain di situ terdiri daripada pemborong atau peniaga yang sudah masak dengan harga pasaran.
Malah, Pak Leh mendedahkan, bagi pelanggan biasa seperti penulis yang tidak pernah berurusan dengan aktiviti berbisik itu, mereka selalunya menggunakan khidmat orang tengah untuk melaksanakan tugasan itu bagi pihak mereka.
“Orang yang memainkan peranan berbisik bagi pihak pelanggan ini juga tidak mengenakan sebarang caj sebaliknya diberi sagu hati seikhlas hati.
“Selalunya tempat ini menjadi tumpuan orang ramai pada Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad. Bukan saja orang tempatan malah dari luar kawasan ini seperti dari Perak, Perlis serta Pulau Pinang.
“Di samping itu ia turut menjadi destinasi kunjungan pelancong terutama dari luar negara yang menganggap kaedah menjual ikan secara berbisik ini sebagai unik. Mereka akan merakam gambar serta video untuk dijadikan kenangan,” cerita Pak Leh.
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..