Jeli kristal yang ditemui dalam usus Ica. FOTO ihsan Nurul Atiqa
Kuala Lumpur: "Saya kongsikan supaya semua orang tahu dan kalau boleh haramkan terus permainan itu,” kata ibu kepada lima anak, Nurul Atiqa Abu Rahim, 26.
Dia berkongsi mengenai anak bongsunya, Nuur Aerissa Lily Dhia Nasri Nor Zakhwan, 10 bulan, yang terpaksa dibedah selepas tertelan jeli kristal yang digunakan sebagai peluru pistol mainan.
“Saya banyak terima mesej mengucapkan berterima kasih selepas mereka juga periksa rumah dan buang permainan itu.
"Bayi atau kanak-kanak tak tahu ia bahaya, perkara ini dah jadi pada saya, dan saya tak mahu jadi pada orang lain," katanya ketika dihubungi hari ini.
Perkongsian Nurul Atiqa di Facebook (FB) mengenai kejadian menimpa anaknya yang lebih mesra di panggil Ica itu tular selepas dikongsi hampir 67,000 kali.
"Ikutkan pada hari kejadian minggu lalu (6 Januari), saya dah tak sedap hati bila nampak anak ketiga yang berusia enam tahun bermain dengan kristal itu dan memintanya buang.
"Saya tinggalkan mereka untuk solat dan kemudian nampak kristal itu tertumpah dan tak tahu rupanya anak bongsu dah tertelan," katanya.
Nurul Atiqa berkata, Ica tiba-tiba muntah dua jam selepas dia dipercayai tertelan kristal itu iaitu pada 9 malam.
"Saya bawa ke klinik di tempat tinggal saya (Parit Raja, Batu Pahat) dan doktor kata Ica keracunan makanan dan masa tu saya memang tak tahu dia sudah tertelan kristal tu.
"Tetapi dia tetap muntah selepas makan ubat yang diberikan doktor sebelum saya bawa dia ke klinik lain di Batu Pahat, seterusnya ke hospital swasta," katanya.
Hospital kemudian membuat imbasan X selepas Nurul Atiqa memberitahu yang dia mengesyaki Ica kemungkinan tertelan kristal itu.
"Ica kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sebelum dibedah selepas keputusan imbasan itu nampak ususnya membengkak.
"Doktor keluarkan kristal itu yang sudah membesar dalam usus anak kecil saya kerana doktor kata ia bersifat menyerap cecair.
"Saya tak sanggup tengok keadaan dia yang sebelum itu muntah-muntah sehingga keluar cecair kehitaman. Doktor kata saya bernasib baik kerana bawa Ica ke hospital awal," katanya yang juga peniaga.
KREDIT
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..