SHAH ALAM - Hasil kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya
Universiti Malaya (Umcedel) menunjukkan mustahil untuk Barisan Nasional
(BN) meraih majoriti kerusi dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13) berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini dan perkembangan
semasa.
Pengarahnya, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, Umno-BN
pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan mengekalkan status quo.
"Dalam pilihan raya lalu di Semenanjung BN hanya dapat 47 peratus undi,
Pakatan Rakyat 49 peratus. Di seluruh Malaysia, BN hanya dapat 50.2
peratus. (Tun) Abdullah Ahmad Badawi ketika memasuki pilihan raya,
popularitinya 70 peratus lebih. Najib sekarang ini popular sekitar 58
peratus.
"Maknanya mustahil Najib akan dapat lebih daripada Pak Lah. Maksudnya pilihan raya akan datang status quo.
"Kecuali ada perkara luar biasa yang kita tak nampak berlaku seperti
pengundi hantu yang kami pengkaji ini pun tak boleh nak kira," katanya
kepada Sinar Harian Online.
Hal ini ditambah pula dengan fakta bahawa Najib satu-satunya Perdana
Menteri yang turun ke gelanggang pilihan raya tanpa berlakunya
persempadanan semula.
"Disebabkan persempadanan semula itu Umno mendapat majoriti kerusi.
Bukan undi. Buktinya Abdullah Badawi popular 64 peratus tetapi kerusi 90
peratus (pada 2004). Tetapi Najib adalah Perdana Menteri pertama yang
memasuki pilihan raya tanpa persempadanan (semula bahagian pilihan
raya)," ujar Mohammad Redzuan.
Lantaran itu katanya, apa yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad bahawa BN dikira tewas jika gagal memperoleh
kemenangan dua pertiga sepertimana 2008, ada kebenarannya.
Ujar Mahathir, walaupun BN masih menang, namun kemenangan tersebut
disifatkan "kosong" kerana sebuah kerajaan yang berwibawa memerlukan
kemenangan majoriti besar kerusi Dewan Rakyat.
"Tradisi yang berlaku dalam Umno, kalau Perdana Menteri gagal dapat dua
pertiga kena letak jawatan, itu yang berlaku pada Tunku, pada Tun
Abdullah dan perkara sama juga akan berlaku kepada Najib jika gagal
mendapat dua pertiga.
"Sejak merdeka, Umno tidak pernah mendapat undi popular dua pertiga.
Tidak pernah. Apa yang Umno dapat? Umno hanya dapat majoriti kerusi dua
pertiga. Itu dua perkara yang berbeza," jelas Mohammad Redzuan.
Dalam hasil kajiannya yang agak kritikal terhadap kerajaan ini, Mohammad
Redzuan berkata, hakikatnya jurang antara BN dan Pakatan Rakyat semakan
dekat.
"Kali ini kalau yang keluar mengundi lebih 82 peratus, maknanya semua
ramalan akan salah. Katakanlah keluar mengundi 90 peratus, ada yang
tidak kena. Itulah yang menyebabkan orang turun beramai-ramai pada 12
Januari lalu. Bagi parti pembangkang, pilihan raya ini buat penat
sahaja," katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian pula
memberitahu, hasil kajian firmanya menunjukkan agak sukar untuk BN
memperoleh majoriti dua pertiga berdasarkan perkembangan mutakhir.
"Kita kira macam mana pun agak sukarlah hendak dapat. Melainkan BN ini
ia boleh capai sokongan anak muda sebabnya bila maklumat itu meluas,
semua orang dapat. Apa yang positif memang orang sokong, tetapi yang
negatif itu keluar juga.
"Sentimennya hampir 50-50 yang menyatakan negara ini dalam keadaan yang
baik atau dalam keadaan tak baik. Ia separuh-separuh," ujar beliau.
Sependapat dengan penganalisis politik veteran, Profesor Datuk Seri Dr
Syed Arabi Idid, Ibrahim berkata, pengundi atas pagar yang terdiri
daripada pengundi muda ini adalah kelompok yang harus ditawan oleh BN
jika mahu kekal di Putrajaya.
"Zaman sudah berubah. Tidak ada satu pihak yang dominan yang boleh
mempengaruhi golongan muda akan datang dan pada kali ini, golongan muda
yang akan tentukan kalah menang," kata Ibrahim.
Beliau juga berpandangan era di mana parti-parti politik boleh menang
besar dalam sesebuah pilihan raya sudah berlalu kerana wujudnya pelbagai
aliran politik masa kini.
"Zaman-zaman seperti itu saya rasa sudah tidak berlaku lagi di negara yang amalan demokratiknya yang semakin kukuh.
"Ada orang lihat perkara ini sebagai perpecahan tetapi saya melihat
perkara ini lebih kepada percambahan dan pertambahan banyak bentuk
pendapat dan idea-idea baru serta jalan penyelesaian yang baru,"
katanya.
p/s : istilah QUO nie apa erkkk???
~~ money2gold dah dpt khabar angin...sengaja disebarkan atau betul tersebar dalam FB
~ Manifesto pun dah bincang, boleh siar dlm TV hebat nie utk semua parti ker?
No comments:
Post a Comment
~Apa2 Komen2 Anda Akan Di Baca, Akan Dilayan Mungkin juga Di KICK " Jadi Sendiri tanggung laa..