Umno, Pas gabung kecam Innocence of Muslims
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berdoa agar mereka yang terbabit
 dalam pembikinan filem 'Innocence of Muslims' mendapat balasan setimpal
di pekarangan Masjid Rusila, Marang, semalam













SHAH ALAM – Umno menyatakan persetujuan untuk bergabung
 dengan Pas selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang 
mencadangkan untuk bersama menghalang penerbitan video Innocence of Muslims.

Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, cadangan itu
 sangat baik dalam usaha menentang musuh Islam supaya tidak
 terus memburuk-burukkan Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata, penerbitan video yang menghina Islam dan
 Rasulullah SAW itu menimbulkan kemarahan umat Islam dari
 seluruh dunia sehingga berlaku pembunuhan ke atas
 Duta Amerika Syarikat di Libya.

“Insiden tersebut amat dikesali dan saya ingin menasihatkan
 masyarakat supaya melakukan perhimpunan tanpa melibatkan keganasan.

“Cadangan Abdul Hadi disambut baik dan perlu dibincangkan
 pada peringkat atas supaya bersama-sama menolak 
penerbitan itu atas dasar Islam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, isi kandungan filem itu sengaja diputar-belitkan
 supaya umat Islam dilabelkan sebagai pengganas dan tidak
 bermoral di mata dunia.

Ahmad berkata, umat Islam harus bergabung tanpa mengira
 fahaman atau bangsa demi menyelamatkan maruah Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia,
 Fathul Bari Mat Jahaya berkata, beliau menyokong cadangan itu
 dengan sepenuhnya.

Katanya, gabungan seperti itu bukan sahaja perlu membabitkan Umno
 dan Pas, bahkan sepatutnya melibatkan umat Islam keseluruhannya.

Beliau berkata, semua pihak perlu bertanggungjawab membersihkan 
segala tuduhan dan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan
 memberhentikan tindakan mempersendakan Islam.

“Saya juga ingin mencadangkan ahli agama bersatu menjawab semua
 fitnah itu secara ilmiah dalam beberapa bahasa menjelaskan perkara ini.

“Setelah video ini tersebar Youtube, masyarakat mulai mencari bukti dan
 jawapan sebenar mengenai isu tersebut,” katanya.

Fathul Bari berkata, pendekatan itu harus menjawab balik
 fitnah mereka yang anti Islam mengenai pengisian video 
tersebut tidak berasas dan benar.